Tuesday, September 1, 2020

Najib terawal bangkit isu teroka tanah kerajaan di Raub

Manzaidi Mohd Amin
MGF08052020_TEMUBUAL-DS-NAJIB-RAZAK_07-681x454
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau tidak pernah bersuara mengenai isu 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri secara haram di sekitar Raub, Pahang.

Malah, kata bekas Perdana Menteri itu, beliau antara yang terawal membangkitkan atau menyentuh soal tanah ladang itu.

Katanya, selepas dibangkitkan, beliau dimaklumkan oleh Menteri Besar Pahang bahawa isu itu dalam perhatian dan sedang diteliti.

“Sebab itu, kita beri ruang yang sepatutnya kepada mereka untuk menjalankan tugas,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Najib mengulas tuduhan yang dilempar kepadanya, konon beliau tidak menyentuh langsung isu tanah ladang durian yang diusaha pekebun terbabit secara tidak sah.

Jumaat lalu, media melaporkan 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri, berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub.

Peguam, Siew Choon Jern, yang mewakili kumpulan pekebun itu berkata, perintah berkenaan dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan itu.

Pada 12 Ogos lalu, kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Pahang akan mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram di sekitar Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub mulai 24 Ogos ini.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dalam kenyataan memaklumkan, ia berikutan keputusan kerajaan negeri yang hanya memberi kebenaran memasuki dan menduduki tanah kerajaan dan hutan simpan di sekitar kampung berkenaan kepada syarikat usaha sama kerajaan negeri sahaja. – MalaysiaGazette

No comments: