Tuesday, September 1, 2020

Mengecewakan!

Abnor Hamizam Abd Manap
 
AHLI PAH mengutip sampah ditinggalkan pengunjung di Air Terjun Lata Dinding. FOTO Abnor Hamizam 

Jelebu : BIAR pun negara sudah 63 tahun merdeka, namun segelintir pengunjung yang datang berriadah di Air Terjun Lata Dinding, Kenaboi masih mempunyai tabiat buruk membuang sampah merata tempat.

Bekas plastik makanan dan botol air mineral antara yang dibuang dikawasan perkelahan air terjun berkenaan.

Sikap berkenaan sangat mengecewakan pengunjung lain yang menyifat ianya satu sikap serta tabiat yang tidak sepatutnya berlaku.

Bagi Haryati Sidi, 46, daripada Pencinta Alam Hikers (PAH) yang kerap datang membawa pengunjung ke situ jelas kecewa dengan situasi berkenaan.

Katanya, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi, bekas makanan atau botol minuman boleh disimpan didalam bagasi masing-masing sebelum dibuang sebaik keluar dari kawasan perkelahan itu.

"Susah sangat ke nak simpan sampah itu sementara sehingga tergamak mengotor kawasan persekitaran air terjun sekaligus mencacatkan pemandangan.

"Atas kesedaran mahu memastikan landskap hutan tidak tercemar, kami ahli PAH yang menyertai program santai sempena hari kebangsaan ke Air Terjun Lata Dinding turut menjalankan kerja sukarela membersihkan sampah sarap ditinggalkan pengunjung yang masih mempunyai kesedaran sivik yang rendah.

"Hasilnya lebih 15 kilogram (kg) sampah sarap dikumpulkan dan dibawa keluar dengan mengendong plastik sampah oleh ahli PAH sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Haryati berkata, biar pun hanya 15 kg sampah berkenaan perlu dipikul sepanjang tiga jam perjalanan melalui jalan balak sebelum sampai ke laluan masuk, Taman Negeri Kenaboi.

Katanya apa yang dilakukan oleh ahli PAH bagi memastikan kebersihan di kawasan berkenaan terpelihara daripada sebarang sampah sarap yang tidak sepatutnya dibuang begitu sahaja.

"Jika ikutkan, kami boleh abaikan sampah sarap berkenaan namun tidak rela melihat alam sekitar dinodai dengan tabiat segelintir pengunjung yang suka membuang sampah.

Bagi Rossaidi Sarudin, 45, dia terkejut apabila melihat keadaan kawasan berhampiran air terjun dipenuhi sampah sarap.

"Jika inilah tabiat masyarakat yang suka membuang sampah, pihak berkuasa berkaitan perlu meninjau dan membuat pemantauan bagi sekaligus mengenakan denda terhadap mereka yang membuang sampah," katanya.

* Gambar Abnor Hamizam Abd Manap

No comments: