Sunday, September 20, 2020

Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida semakin stabil

Nor Jamilah Ahmad menunjukkan gambar terakhir dirakam di Pulau Jerjak oleh anak 
saudaranya, Sharifah Fariesha (duduk, kiri) yang maut akibat keracunan karbon monoksida. 
Turut maut dalam kejadian itu ialah Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan, 
manakala Nor Aqilah dilaporkan semakin stabil. (Gambar Bernama)

BUKIT MERTAJAM: Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida ketika 4 sahabat tertidur dalam sebuah kereta semasa berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, dekat sini Rabu lalu semakin stabil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, keadaan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, semakin stabil berbanding kelmarin yang masih kritikal.

“Mangsa masih menerima rawatan di unit rawatan rapi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur dan doktor di sana memantau secara rapi keadaan wanita itu dari semasa ke semasa.

“Polis juga sentiasa mendapatkan maklumat keadaan mangsa dari semasa ke semasa daripada pasukan perubatan di sana, mari kita sama-sama doakan semoga dia cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Sementara itu, katanya, laporan bedah siasat mendapati 3 sahabat itu meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ berfungsi disebabkan terhidu gas karbon monoksida ketika berada di dalam kereta yang dinaiki.

Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Aqilah kritikal, selepas keempat-empatnya yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta dengan enjin masih hidup oleh bapa Ayuni kira-kira 12.30 tengah malam Khamis.

Adilah ialah kembar kepada Aqilah yang pada awalnya terselamat, namun meninggal dunia ketika dirawat di ICU Hospital Angkatan Tentera Lumut di Perak, pada 4.23 petang Khamis lalu.

Semua pelajar sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves, Selangor itu dikatakan singgah berehat di stesen minyak berkenaan kira-kira 8.30 malam selepas Aqilah yang memandu kereta jenis Honda Odyssey itu memaklumkan dia pening dan muntah.

Mereka ketika itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia.

No comments: