Wednesday, September 2, 2020

Lebuh raya bawah badan amanah idea buruk, Putrajaya diberitahu

Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk meletakkan semua 
35 lebuh raya, termasuk 6 dalam pembinaan, bawah badan 
amanah.

PETALING JAYA: Dua pakar pengangkutan membantah cadangan meletakkan semua 35 lebuh raya tol bawah badan amanah yang akan ditetapkan kerajaan, mengatakan rancangan itu diragui akan meringankan beban rakyat.

Goh Bok Yen dan Rosli Azad Khan, kedua-duanya perunding perancangan pengangkutan, berkata ada cara yang lebih baik untuk membantu pengguna jalan raya menjimatkan duit.

Goh berkata, kerajaan perlu memperbaiki laluan alternatif dengan memperluaskannya atau membina jalan sambungan baru.

Katanya, elemen persaingan akan mendorong syarikat konsesi lebuh raya mengekalkan tol pada kadar rendah untuk mengekalkan lalu lintas.

Sementara itu, Rosli berkata, Putrajaya perlu berusaha menghapuskan semua tol daripada mengurangkan kadar tol dan melanjutkan tempoh konsesi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata kerajaan sedang meneliti cadangan tersebut dalam usaha untuk mengurangkan kadar tol. 35 lebuh raya itu termasuk 6 yang masih dalam pembinaan.

Goh memberitahu kadar tol masalah utama pengguna lebuh raya bandar, yang jumlahnya kurang daripada 1/3 daripada semua lebuh raya.

Beliau berkata meletakkan semua lebuh raya bawah badan amanah boleh menyebabkan masalah kelak dan apa yang dihasratkan sebagai penyelesaian kepada masalah bandar akhirnya boleh mencetuskan masalah lain.

Jelasnya, banyak lebuh raya mencapai tempoh akhir konsesi dan beberapa jalan yang jarang digunakan di akhir proses penerimaan. “Mengapa perlu letak bawah badan amanah?”

Katanya, tidak semua lebuh raya dimiliki oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Menyusun semula semuanya (lebuh raya) menjadi 1 entiti amanah dengan tempoh konsesi yang berbeza-beza akan menyebabkan banyak kesukaran dari segi penetapan harga dan penilaian.

“Ini akan menjadi suatu eksesais korporat besar-besaran yang, pada akhirnya, tidak akan masuk akal dari segi perniagaan. Dalam analisis terakhir, pengguna akan terus menderita dan masih perlu membayar tol,” katanya.

Rosli berkata Putrajaya perlu mengambil kira baki tempoh beberapa konsesi dan juga mempertimbangkan tawaran dari sektor swasta, terutamanya untuk lebuh raya yang kini dimiliki Khazanah dan KWSP dalam PLUS Expressways Bhd.

Langkah itu mungkin membebaskan Putrajaya daripada jaminan kerajaan bernilai “berbilion” ringgit.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan pengenalan kepada sebuah dana amanah dibuat yang akan membantu menampung kos operasi, penyelenggaraan, dan penambahbaikan lebuh raya.

“Perlu dinyatakan bahawa kerajaan sedang mengumpul sejumlah besar cukai jalan setiap tahun, lebih RM5 bilion tahun lepas,” katanya.

“Jumlah ini boleh disalurkan kepada dana amanah untuk operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tetapi lebuh raya bawah dana amanah mesti bebas tol.”

No comments: