Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengalu-alukan konsep pawagam pandu masuk diperkenalkan terutamanya ketika negara berdepan penularan pandemik Covid-19.
Timbalan menterinya Zahidi Zainul Abidin berkata konsep pawagam seperti itu boleh dijadikan sebagai platform alternatif untuk menonton filem di layar besar secara berkumpulan sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Konsep ini dapat memberi peluang dan pengalaman yang baru kepada penonton untuk menonton filem hanya dari kenderaan masing-masing,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian pawagam pandu masuk CineDrive, di Kuala Lumpur malam ini.
Selain itu, Zahidi turut menasihati syarikat pawagam pandu masuk agar sentiasa memastikan pelaksanaan semua garis panduan dan SOP yang ditetapkan, termasuk saringan kesihatan, pembersihan dan disinfeksi premis serta penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan lain.
“Di samping itu, semua kelulusan yang berkaitan haruslah diperoleh daripada pihak berkuasa.
“Dengan adanya kawalan kesihatan dan SOP saya yakin pengenalan konsep baru seperti pawagam pandu masuk ini pastinya akan menjadi satu daya penarik untuk kembali merancakkan aktiviti menonton filem,” katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment