Tuesday, September 1, 2020

Kemasukan pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia, dan Filipina disekat

 

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan sekatan ke atas pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia, dan Filipina berkuatkuasa 7 Sept.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemegang pas jangka panjang itu merangkumi pemegang pas penduduk tetap (PR), ekspatriat, pas residen iaitu pasangan kepada warga Malaysia, dan pas pelajar.

“Jika dulu kita umumkan kelonggaran bagi pemegang pas ini tetapi melihat kepada peningkatan kes terutama di 3 negara ini, kita buat keputusan untuk kenakan sekatan kemasukan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengenai Tabung Covid-19, Ismail Sabri mengumumkan ia menerima sumbangan sebanyak RM44.517 juta daripada institusi diraja, syarikat korporat, dan individu sejak dilancarkan pada 11 Mac.

“Daripada jumlah itu, RM31.5 juta dibelanjakan untuk program bakul makan (RM25.23 juta), bantuan khas pengurusan kematian (RM595,000), dan bantuan khas hilang pendapatan (RM5.67 juta) membabitkan 4,134 penerima,” katanya.

Tarikh tutup permohonan bantuan khas Covid-19 dilanjutkan mengikut tempoh pelaksanaan PKP iaitu sebulan selepas PKP ditamatkan.

“PKPP dilanjutkan sehingga 31 Disember dan tempoh pelaksanaan tabung ini juga dilanjutkan sebulan selepas itu,” katanya.

No comments: