Thursday, September 3, 2020

Jika tiada tindakan, Putra mahu rakyat Malaysia teroka tanah hutan

Nizam Zain
MGF02092020_LAPORAN-SPRM-ISU-PENCOROBOHAN-TANAH-RAUB_04-681x454
Naib Presidan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), 
Datuk Hamidah Osman bercakap kepada media sebelum membuat 
laporan SPRM berhubung Isu Pencorobohan Tanah Kerajaan 
Negeri Pahang Oleh 111 Pengusaha Tanaman Durian Musang 
King di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 
Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AZADI MOHAMAD 
ISKANDAR

PUTRAJAYA – Parti Bumiputera Perkara Malaysia (PUTRA) mempersoalkan tindakan pilih kasih pihak berkuasa terhadap penceroboh tanah kerajaan yang mengusahakan tanaman durian Musang King secara haram.

Ini kerana mereka yang terlibat didakwa masih belum diheret ke mahkamah.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman menegaskan, jika seorang bekas tentera boleh dihadapkan ke mahkamah kerana menceroboh tanah kerajaan hingga dijatuhi hukuman denda RM50,000 dan dua tahun penjara, apa lagi sekumpulan 111 pekebun durian di Raub, Pahang.

“Bagaimana tanah yang telah diterokai selama 40 tahun seluas 4,400 hektar tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa sehingga perkara ini timbul hari ini.

“Kenapa tiada laporan dibuat? Kenapa tiada tindakan dibuat sedangkan ada akta khas untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Maka atas dasar itulah kami hari ini datang ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melaporkan perkara ini agar ia disiasat. Kita nampak seolah-olah ada unsur-unsur rasuah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mendedahkan kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Menurut Sallehuddin, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Dianggarkan 4,400 hektar kawasan diusahakan secara haram untuk penanaman durian di Raub, dan tindakan tegas perlu segera diambil bagi menangani isu ini.

Hamidah juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara Kerajaan Pahang menyelesaikan masalah pencerobohan tanah itu hingga boleh berunding dari segi pemilikan tanah yang diteroka itu.

“Sepatunya 111 peneroka itu dikenakan tindakan dan dibawa ke mahkamah kerana mereka telah melanggar Akta Perhutanan Negara. Kenapa pula mereka perlu dirunding untuk diselesaikan dengan memberi tanah tersebut,” tegasnya.

Sekiranya pihak berkuasa gagal mendakwa peneroka terbabit, beliau tidak teragak-agak untuk menggesa rakyat di negara ini meneroka tanah hutan milik kerajaan jika mahu mendapat tanah secara mudah.

“Jika 111 peneroka ini tidak dikenakan tindakan, saya akan menyeru rakyat Malaysia meneroka semua tanah hutan di negara ini kerana bila mereka meneroka, mereka akan dapat tanah.

“Kenapa orang yang mematuhi undang-undang perlu dihukum sedangkan orang yang tidak mematuhi undang-undang diberi peruntukan tanah dan apa juga penyelesaiannya.- MalaysiaGazette

No comments: