Tuesday, September 1, 2020

Jangan biarkan jiwa, pemikiran terus terjajah fahaman asing

Datuk Dr Ir. Ts. Badhrulhisham Abd Aziz 

 

Masyarakat, negara hendaklah bebas dari dikuasai kapitalis

1. MENYAMBUT ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-63 pada 31 Ogos (hari ini), kita semua mesti kembali kepada memahami maksud kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Bebas dari penjajahan fizikal, tetapi masih terbelenggu dengan bentuk penjajahan lain, bukanlah merdeka namanya.

2. Zaman sebelum kemerdekaan, penjajahan lebih berupa kepada perompakan kekayaan sesuatu bangsa sedang perhambaan pula lebih berupa kepada penguasaan terhadap diri sesuatu golongan yang mengakibatkan pemerasan tenaga fizikal demi kepentingan tuannya.

Namun, selepas kemerdekaan, penjajahan dan perhambaan bentuk baharu menguasai kehidupan apabila yang diperas adalah pemikiran dan jiwanya. Maka lahirlah golongan rakyat yang hidup di sebuah negara yang merdeka tetapi mempunyai jiwa hamba dan minda yang tertawan. Natijahnya, lahirlah umat Islam yang tidak merasa ‘izzah’ (mulia) dengan Islam.

3. Dalam situasi negara pada hari ini, rakyat Malaysia perlu membebaskan diri, masyarakat dan negara dari sebarang bentuk penjajahan samada penjajahan politik, ekonomi, budaya, emosi dan sebagainya. Sebagai individu, kita mesti membebaskan hidup dan pemikiran kita dari dijadikan ‘hamba’ oleh anasir-anasir yang cuba mengambil kesempatan atas kedhaifan kita akan erti kemerdekaan yang sebenar.

Negara ini tidak akan kekal merdeka jika kita membiarkan jiwa dan pemikiran terus terjajah dengan pemikiran asing samada pemikiran Barat mahupun Timur. Kita dapat saksikan sendiri, apa sahaja yang berlaku dalam isu politik, ekonomi, kemandirian umat Melayu Islam sekarang, semuanya kembali kepada isu kemerdekaan jiwa dan pemikiran mereka yang masih terjajah.

4. Masyarakat dan negara kita hendaklah bebas dari dikuasai oleh kapitalis yang bergerak secara berkelompok mahupun individu yang digelar sebagai ‘warlord’ yang dengan rakus cuba memonopoli ekonomi dan kehidupan sosial dengan menjajah pemikiran rakyat tanpa memikirkan kebahagiaan dan kesejahteraan orang lain.

Sudah sampai masanya kita menolak sebarang usaha untuk menjadikan mana-mana individu, masyarakat dan negara sebagai ‘tawanan dan hamba’ melalui berbagai mekanisme seperti hutang yang mencengkam, ‘doktrin politik’ sesat, pemilikan harta secara haram, peras-ugut dan lain-lain.

5. Pastikan kita tidak dijajah secara fizikal mahupun pemikiran agar hidup kita bebas sebagai seorang hamba kepada pemilik segala alam iaitu Allah swt semata-mata. Tiada manusia yang boleh menjadikan kita hamba secara sedar atau tidak, jika kita benar-benar beriman dan yakin dengan kekuasaan Allah.

Hayatilah maani dari ungkapan kata-kata seorang sahabat Nabi saw, Ribie Bin Amir kepada panglima tentera musuh, Rustum, apabila ditanya tujuan kedatangannya ketika itu:

‘Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami memerdekakan manusia, daripada pengabdian diri sesama manusia kepada pengabdian diri hanya kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat’. Inilah tanggungjawab kita terhadap negara dan rakyat Malaysia.

6. Sehubungan dengan itu, amat penting bagi semua rakyat, terutama umat Islam, memahami erti sebuah kemerdekaan yang sebenar dan mengambil pengajaran bukan sahaja mengenai hari Kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun, tetapi tentang sejarah perjuangan sebelum kemerdekaan dan cabaran selepasnya juga.

Semoga Hari Kemerdekaan pada kali ini membawa satu perubahan dalam diri setiap kita untuk menolak segala bentuk penghambaan dan penjajahan, mudah-mudahan ianya dapat membawa kita kepada kehidupan yang lebih baik dan penuh bermakna.

* Datuk Dr Ir. Ts. Badhrulhisham Abd Aziz - Presiden BERJASA

No comments: