Tuesday, September 1, 2020

Filipina buka semula pejabat untuk tuntut Sabah

Agensi
locsin-681x454 
Teodoro Locsin Jr

KUALA LUMPUR – Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mengumumkan pembukaan semula pejabat di bawah Jabatan Hal Ehwal Luar yang berfungsi untuk menuntut Sabah selepas Malaysia mengeluarkan nota lisan terhadap tuntutan tersebut pada minggu lalu.

Akhbar, The Inquirer melaporkan Locsin menimbulkan isu Pejabat Hal Ehwal Borneo Utara yang tidak berfungsi itu berikutan beberapa siri hantaran dalam akaun Twitter yang mana beliau dakwa terdapat ‘tawaran berulang kali’ tuntutan ke atas Sabah digugurkan.

“Tertanya-tanya jika ia masih dilakukan. Akan dibuka atau dibuka semula,” katanya yang merujuk kepada pejabat itu.

Pada Ahad lalu, menerusi akaun Twitter, Locsin membayangkan terdapat ‘rasuah’ ditawarkan kepada para pegawai Filipina untuk menggugurkan tuntutan ke atas Sabah.

“Menerusi sejarah terdapat tawaran berulang kali untuk menggugurkan tuntutan ke atas Sabah daripada aspirasi calon Presiden sejak akhir 1970an, kebiasaannya pembangkang kerana mereka paling memerlukan dana kempen tetapi juga pentadbiran,” kata Locsin dalam hantaran Twitter.

Semalam, menerusi akaun Twitternya, beliau berkata: “Orang awam Filipina perlu mengetahui bahawa tawarannya besar, oleh itu cubaan untuk melakukan khianat adalah besar.

“Dalam hal ini, menyerahkannya kepada diplomat tidak mencukupi untuk memelihara kepentingan nasional.

“Terdapat cubaan tambahan untuk merasa dialu-alukan di negara tuan tumah,” katanya.

Terdahulu, Inquirer melaporkan, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menyerahkan nota lisan, satu bentuk komunikasi diplomasi, pada Jumaat lalu.

Nota lisan itu menyatakan: “Kuala Lumpur tidak pernah mengiktiraf tuntutan Republik Filipina ke atas negeri Sabah, yang dahulu dikenali sebagai Borneo Utara,”. – MalaysiaGazette

No comments: