Wednesday, June 24, 2020

Suspek utama seludup dadah guna dron dari JB ke Singapura ditahan

Sebuah dron dan sebahagian dadah yang dirampas polis selepas mengesan aktiviti
luar biasa dron di sekitar Taman Takungan Air Kranji pada 17 Jun lalu. (Gambar CNB)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Singapura dikenali sebagai “Boy Setan” yang merupakan suspek utama kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke republik itu ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Johor Bahru, tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ramli Din berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor hasil maklumat serta risikan.

“Siasatan masih dijalankan JSJN Johor dan permohonan reman akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata lelaki itu yang nama sebenarnya Mohamad Azli Ahmad Said turut dikehendaki pihak berkuasa Singapura kerana kesalahan berkaitan dadah.

Sabtu lalu, polis menahan 2 lelaki Singapura kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), data penerbangan yang diambil daripada telefon salah seorang suspek menunjukkan dron itu diterbangkan dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru sebelum kembali semula ke Kranji.

Susulan maklumat itu, polis Singapura turut menahan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut.

No comments: