Wednesday, June 24, 2020

DBKL tutup kedai gunting rambut, cuci kereta dikendali warga asing

DBKL berkata, 2 warga Bangladesh tidak mempunyai permit untuk menjalankan
perniagaan mereka.

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan serbuan ke atas pekerja asing haram hari ini dan menahan 2 peniaga warga asing di Keramat Wangsa, Setiawangsa.

Dua warga Bangladesh itu tidak mempunyai permit untuk menjalankan perniagaan mereka.

Seorang daripadanya mengendalikan kedai gunting rambut yang dikenali sebagai Kedai Gunting Rambut Abang Din dan seorang lagi perkhidmatan mencuci kereta.

DBKL berkata, lelaki yang mengendalikan perniagaan cuci kereta itu enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri.

Katanya, kedua-dua premis itu ditutup serta-merta.

Terdahulu, DBKL hari ini berkata, warga asing tanpa permit sah tidak dibenarkan bekerja di pasar borong seperti diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil Pasar Borong Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2002.

“Pekerja yang sah dan berdaftar serta bekerja dengan majikan pembekal saja dibenarkan masuk dengan diiringi majikan warganegara Malaysia.”

No comments: