Thursday, June 25, 2020

Bubar Parlimen Cara Terbaik, Malaysia Perlukan Kerajaan Yang Stabil – Mohamad

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata adalah baik jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan perkara yang sama sepertimana Singapura yang telah membubarkan parlimen tanpa berlengah.

Menurut beliau Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti ini sejak merdeka dan kemajuan, kemakmuran dan kebolehsaingan Malaysia sangat bergantung kepada kestabilan politiknya.

“Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah membubarkan Parlimen republik tersebut bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 10 Julai 2020. Keputusan tersebut dibuat bagi memastikan Kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

“Dalam konteks negara adalah baik jika Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan perkara yang sama. Kestabilan politik akan memberi kesan dan pengaruh kepada banyak perkara termasuklah kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial,” katanya menerusi catatan di facebook.

Tambah Mohamad Hasan keadaan semasa sangat menyukarkan Kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi yang dihadapi waktu ini.

Tambahnya lagi segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa Kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang.

“Negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan. Ini bukan sesuatu yang sihat untuk negara.

“Hanya Kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti yang selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik dan menumpukan segala fokus kepada memulihkan Malaysia dari segala cabaran besar yang bersifat ‘unprecedented’ yang sedang kita hadapi.

“Negara ini adalah sebuah demokrasi berparlimen. Kuasa sebenar ialah pada rakyat dan bukan pada sesiapa yang lain. Apatah lagi pada blok-blok yang dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik. Oleh yang demikian, kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan kehadapan bagi tanahair tercinta,” ujarnya. – UMNO Online

No comments: