CHINI – Bapa mana yang tidak bangga dengan pencapaian anak sendiri.
Md Zain Hashim, bapa kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim berkata, dia pada mulanya tidak percaya anaknya dipilih sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Peneroka Felda generasi pertama itu berkata, besar harapannya agar anaknya boleh mengikut jejak Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun menjadi ADUN yang bagus kerana beliau sungguh sayang kepada Mohd Sharim.
Ke mana sahaja Allahyarham pergi Mohd Sharim akan ada bersamanya.
“Saya percaya dia boleh jadi ADUN yang bagus kalau ada orang yang bijak pandai mengajar dia cara menjadi wakil rakyat.
“Pak cik sungguh bangga. Hanya tuhan yang tahu apa dalam hati saya ketika ini.,” katanya eksklusif kepada MalaysiaGazette.
Md Zain berkata, beliau perasan tentang minat untuk terjun ke bidang politik apabila anak keduanya itu sering bersama Abu Bakar sehinggalah menjadi orang kanan kepada Allahyarham.
“Saya nasihatkan dia supaya menjalankan tugas dengan baik jika dipilih sebagai ADUN. Saya yakin dia boleh boleh bawa gelaran ADUN jika dia menang sebab dia sudah lama bersama bekas ADUN Chini,” katanya lagi.
Individu lain yang paling berbangga dengan pencapaian Mohd Sharim pastinya isteri beliau, Norhiliyana Abd Hamid, 27 tahun.
Norhiliyana memberitahu beliau tahu tentang pencalonan suaminya itu menerusi siaran live Facebook.
“Dia maklumkan kepada saya selepas pengumuman calon.
“Saya tengok live Facebook sahaja, memang mengalir air mata sebab tak sangka dan terkejut sangat.
“Sepanjang dia menguruskan PDM, dia ada juga berkongsi cerita. Tapi dia pun tak sangka dicalonkan,” katanya.
Sementara ibu Mohd Sharim pula berkata, anaknya berkelakuan aneh pada malam sebelum nama calon diumumkan.
Sopaih Mat, 68, berkata: “Saya tengok pada malam Rabu, dia tidak dapat tidur. Dia tak pernah peluk bapa dia tiba-tiba malam itu dia peluk. Apa jadi dengan anak aku”.
Ternyata firasatnya betul apabila anaknya itu dipilih sebagai calon pengganti Abu Bakar.
Menceritakan perihal Mohd Sharim, Sopaih berkata, anaknya hanya meminati bidang sukan di sekolah dan tidak dalam bidang politik.
Bagaimanapun, beliau mengetahui niat anaknya untuk terjun dalam bidang politik selepas menunaikan ibadah umrah.
“Dia minat politik bila dia balik umrah dan dia bagitahu saya dia berhajat nak jadi pemimpin pada masyarakat, itu yang buat saya terkejut.
”Dia rapat dengan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar, dia pernah beri amanat kalau tidak ada orang lain jadi pengganti dia, awaklah yang ganti saya,” jelas Sopaih.
Temubual eksklusif bersama ibu calon Barisan Nasional, Sopiah Mat sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 3, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2020Mohd Sharim diumumkan sebagai calon BN pada 18 Jun lalu.
Beliau berdepan dua lagi pencabar dari bebas iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh pembuangan undi dan 30 Julai sebagai tarikh undi awal.
Terdapat 20,990 pengundi berdaftar, termasuk 18 pemilih awal dalam DUN Chini.
DUN Chini merupakan kubu BN sejak PRU ke-11 pada 2004 menerusi penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment