Wednesday, June 24, 2020

Myanmar minta Malaysia hantar pulang pekerja haram selepas kes bunuh diri

Pelarian Rohingya diperiksa dalam satu operasi Covid-19 di Kuala Lumpur
baru-baru ini.

PETALING JAYA: Myanmar meminta bantuan Malaysia untuk menghantar pulang pekerja haramnya susulan laporan 8 pendatang tanpa izin (PATI) dari negara itu membunuh diri.

Irrawaddy hari ini melaporkan ribuan migran haram dari Myanmar terkandas di Malaysia tanpa kerja akibat Covid-19 dan serbuan terhadap PATI.

Ia melaporkan 2 warga Myanmar membunuh diri di Kuala Lumpur minggu lalu dan 6 lagi berbuat demikian pada lewat Mei serta awal bulan ini.

Menurutnya, Ketua Pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar Myanmar, U Aung Myint, menemui Duta Malaysia ke Myanmar, Zahairi Baharim semalam untuk meminta kerjasama Malaysia menghantar pulang PATI dari negara itu.

Aung Myint memberitahu Zahairi yang Myanmar akan menghantar pesawat untuk membawa pulang rakyatnya, jika dibenarkan Malaysia. Beliau turut meminta Malaysia tidak mendenda mereka yang pulang ke negara itu.

Zahairi berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Luar Malaysia.

Irrawaddy memetik seorang atase buruh di Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur berkata, dianggarkan 250,000 migran tanpa dokumen dari Myanmar berada di Malaysia, dengan tambahan 300,000 lagi yang mempunyai dokumen di negara ini.

Awal bulan ini, Malaysia dilaporkan mahu mengusir lebih 3,000 individu yang dipercayai warganegara Myanmar selepas ratusan tahanan disahkan positif Covid-19 di pusat tahanan.

Malaysia dilapor memaklumkan Kedutaan Myanmar ia akan menyediakan pesawat sewa untuk menghantar pulang tahanan itu ke negara berkenaan.

No comments: