Wednesday, June 24, 2020

687 mangsa banjir masih di 14 pusat pemindahan Johor

Anggota bomba dan penyelamat meredah air untuk mencari mangsa banjir.
(Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Muar, Batu Pahat dan Pontian tidak banyak berubah dengan 687 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini berbanding 731 orang petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata jumlah itu membabitkan 176 keluarga di 14 PPS setakat 8 malam tadi.

“Seramai 281 orang daripada 80 keluarga masih berada di 5 PPS di Muar, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18, SK Parit Bulat serta SK Seri Menanti berbanding 316 orang daripada 86 keluarga petang tadi.

“Di Batu Pahat pula, 205 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di 3 PPS, iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, 201 orang daripada 52 keluarga masih berada di 6 PPS di Pontian, iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian, SK Kampung Melayu Raya, SK Agama Parit Sikom, SK Belokok serta SK Penerok.

Katanya, PPS di SK Agama Parit Sikom mula dibuka 5 petang tadi, SK Belokok pada 6 petang, diikuti SK Penerok pada 7 malam tadi.

Banjir di beberapa daerah di Johor berlaku sejak Sabtu lalu apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat melebihi kadar biasa serta fenomena air pasang.

No comments: