Haji Aminuddin Yahaya
Kembalikan Tanah Rizab Melayu, perkukuh ekonomi - sokong BMF -
GERAKAN PEMBELA UMMAH (UMMAH) semenjak dari awal penubuhannya sangat prihatin terhadap perpecahan yang berlaku dikalangan orang Melayu.
Atas dasar
itu UMMAH telah meletakkan agenda utamanya untuk menyatukan orang
Melayu dengan memberikan kesedaran terhadap peri pentingnya kesatuan
dalam menghadapi tekanan-tekanan yang ada terhadap bangsa Melayu dan
agama Islam.
Kerajaan
harus sedar bahawa orang Melayu kini rasa terpinggir dan terhina
dibuminya sendiri. Saban hari kenyataan dan polisi yang dibuat
menampakkan orang Melayu semakin diketepikan.
Baik dari
segi ekonomi, pelajaran, bahasa, peluang pekerjaan malah institusi raja
juga tidak terlepas dari penghinaan. Lebih parah, agama Islam juga
dihina manakala pemikiran-pemikiran sesat seperti liberalisma semakin
berleluasa.
UMMAH
telah menganjurkan pelbagai wacana dan himpunan aman seperti Himpunan
ICERD, Wacana STATUT ROM, Himpunan Bantah UEC, Wacana Da’ie dan Ulamak,
Kovensyen Perpaduan Nasional, semuanya itu bagi tujuan menyedarkan orang
Melayu untuk mengenepikan perbezaan pandangan demi kemaslahatan bangsa
dan agama.
Memahami
ancaman yang semakin besar ini dan atas kesedaran peri pentingnya
perpaduan dalam menangkis ancaman tersebut maka UMMAH menyokong penuh
program KONGRES MARUAH MELAYU yang akan diadakan pada 6 Oktober 2019 di
Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.
UMMAH
mengharapkan KONGRES ini bukan sahaja dapat mengumpulkan
pemimpin-pemimpin Melayu tetapi akhirnya akan berjaya membentuk
perpaduan yang lebih besar sehingga membentuk kerajaan orang Melayu.
Atas dasar
itu UMMAH menyeru semua orang Melayu termasuk parti-parti politik
Melayu, tokoh-tokoh Melayu serta orang perseorangan untuk bersama-sama
hadir dan menyatakan kesediaan kita untuk bersatu demi mempertahankan
maruah bangsa dan agama.
Sehubungan
dengan itu UMMAH menuntut perkara-perkara penting tentang orang Melayu
akan diberi komitmen oleh Perdana Menteri di dalam “Amanat” nya nanti,
antaranya :-
i. Mengembalikan Tanah Rizab Melayu;
ii. Mempertahankan kedudukan Penjawat Awam;
iii. Memperkukuhkan ekonomi Melayu termasuk menyokong kempen BMF;
iv. Memperkukuhkan kedudukan Bahasa Melayu dan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan negara;
v. Memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu;
vi. Mempertahankan hak istimewa orang Melayu sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan;
*Haji Aminuddin Yahaya , Pengerusi UMMAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan