KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen dari Sarawak dilihat berang dengan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa telah menghina rakyat negeri itu sebagai pengemis yang tamak.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri yang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Bajet 2020 di Dewan Rakyat berkata, Guan Eng dilihat beberapa kali sudah berbuat demikian terhadap rakyat Sarawak.
“Adakah wajar rakyat Sarawak harus dihina sedemikian rupa, saya sedia maklum bahawa menteri memang tiada sedikit timbang rasa kepada GPS tapi adakah sanggup menteri hina rakyat Sarawak dengan belanjawan mungkir janji seperti ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Nancy juga menyifatkan sikap Setiausaha Agung DAP itu berbeza dengan apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU-14 kepada rakyat Sarawak.
“Saya tidak perlu ulang sila tengok video, menteri tahu apa dia nyatakan,” katanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga turut mempersoalkan tindakan Guan Eng yang disifatkan tidak tetap pendirian.
“Awal tahun ini menteri cuba menempelak Sarawak dengan berkata rizab Sarawak banyak, jadi mengapa negeri tidak guna bayar hutang, enam bulan kemudian tukar kenyataan apabila secara terang kata Sarawak akan bangkrap, yang mana betul, yang mana bohong?” soalnya.
Ia kemudiannya menimbulkan kekecohan apabila Ahli Parlimen Batu Kawan daripada DAP, Kasthuri Patto yang kemudian bangkit mencelah dengan meminta Nancy mendedahkan nama akhbar yang membuat laporan tersebut jika sebaliknya ia perlu ditarik balik kerana menghina dewan.
“Mana sumber mengenai menteri kewangan kata rakyat Sarawak mengemis,” katanya.
Nancy kemudian memaklumkan ia dilaporkan akhbar di Sarawak dan meminta Kasthuri mencarinya sendiri.
“Apakah maksud ‘begging and beggar’ kalau di terjemah kepada bahasa Malaysia,saya tidak mahu layan (Kasthuri), saya orang Sarawak saya lebih tahu rohnya ada di sini,” kata Nancy lagi.
Situasi itu ditenangkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan