Rabu, 2 Oktober 2019

Lelaki bawa lelaki, perempuan bawa perempuan





Siti A’isyah Sukaimi


JIKA penunggang lelaki, maka penumpangnya wajib lelaki dan begitu juga bagi jantina sebaliknya.

Itu antara perkara wajar dijadikan peraturan untuk perkhidmatan Gojek menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata demikian menerusi video Bayyan Linnas-Pelaksanaan Gojek yang dimuat naik di Facebook (FB) hari ini.


Katanya, kriteria itu penting supaya tidak timbul perkara tidak diingini, selain menjaga batas aurat antara lelaki dan perempuan Muslim.

“Pertamanya, kalau boleh dipastikan yang menunggang Gojek adalah lelaki maka lelaki jugalah penumpangnya. Kalau perempuan yang menunggang, perempuan jugalah menjadi penumpangnya.

“Ini supaya tidak timbul apa-apa perkara yang mungkin di luar kawalan dan tidak baik,” katanya.

Pada masa sama, Dr Zulkifli berkata, sekiranya pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal itu dibenarkan, adalah sebaik-baiknya di bawah kawalan pihak yang ditugaskan atau diberi kuasa.

Katanya, ia bagi melaksanakan pengawalan supaya tidak timbul atau membawa sebarang implikasi yang tidak baik.

Bagi perkara ketiga, beliau menzahirkan pelaksanaan perkhidmatan itu sebaik mungkin dalam masa sama menjaga adab dan tatasusila.

“Sejujurnya apabila saya melihat dan mendengar hal Gojek ini, saya terbayangkan betapa pentingnya sebuah minda baharu sekiranya dibolehkan, bagaimana kita nak merealisasikan sebaik mungkin dengan menjaga adab dan tatasusila.

“Sebahagian tempat adanya kereta atau motosikal yang dipanggil sebagai ‘tuk tuk’ dan seumpamanya, maka kalau di Malaysia, kita boleh reka satu bentuk yang mana kedudukan lelaki dan perempuan dijarakkan dan dikhususkan dengan cara baik.

“Justeru, saya yakin kesannya cukup baik, bahkan kita semata-mata untuk memudahkan tanpa kita mengabaikan perasaan dan persepsi oleh pelbagai pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, akan cuba menekuni isu berkenaan dengan lebih baik serta memahaminya daripada semua pihak supaya selaras dengan kehendak semasa, agama dan syariah.

“Insya-Allah, kita yakin dan percaya setiap pemasalahan, ada noktah penyelesaian terbaik. Kita berdoa kepada Allah moga kita sentiasa mengikut perintah Tuhan dan sentiasa menjunjung dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau mengakui menerima banyak pertanyaan mengenai perkhidmatan teksi motosikal itu.

Berikutan itu, katanya, wajar terdapat peraturan bertujuan, supaya mashlahat (sesuatu berfaedah) kepada kedua-dua belah pihak yang membenarkannya dan pada masa sama, batasan terhadap perkara itu.

Tiada ulasan: