Khamis, 17 Oktober 2019

Keluarga mahu ruang bertenang

fazleen safina

 

Adik mangsa nahas bas Turki masih tunggu tindakan lanjut urusan PKNS

KUALA LUMPUR – Keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan bas di Turki semalam, meminta semua pihak memberi ruang kepada mereka untuk bertenang.

Azhar Miswan, 47, berkata, ketika ini keluarga masih terkejut dengan berita kemalangan yang menyebabkan abang sulungnya Azalan Miswan maut manakala kakak iparnya, Wan Faridah Ahmad cedera.

“Sebagai menghormati ibu bapa kami yang masih bersedih, kami berharap semua pihak khususnya media memberi ruang kepada keluarga untuk bertenang.

“Ketika ini, kami masih menunggu keputusan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk tindakan selanjutnya berhubung urusan abang dan kakak ipar saya di sana,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Dalam kejadian 11.35 pagi waktu tempatan semalam, Azalan maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Azhar berkata, sudah pasti keluarga mahu jenazah abangnya dibawa pulang namun, masih menunggu keputusan daripada pihak kedutaan dan PKNS mengenai perkara itu.

Beliau berkata, kakak iparnya ada menghubungi keluarga lewat malam tadi dan memaklumkan keadaannya stabil namun tidak sempat bercerita lanjut mengenai kejadian itu.

“Kali terakhir berjumpa abang kira-kira dua minggu lalu dan dia berpesan supaya menjaga kedua ibu bapa kami yang sudah uzur…tiada yang pelik kerana itu pesanan yang sering diingatkannya,” katanya.

Jelasnya, Azalan yang juga anak sulung daripada tujuh beradik, mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur 15, 23, dan 26 tahun. -Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.