Sunday, September 1, 2019

Suhakam gesa Putrajaya guna kaedah pelbagai dimensi ukur kemiskinan

Suhakam berkata, rancangan pembangunan akan datang perlu 
mengguna pakai Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI).
 
PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa Putrajaya menggunakan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) untuk mengukur kemiskinan dalam rancangan pembangunan 5 tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Suhakam berkata, kaedah sedia ada yang mengukur kemiskinan mutlak tidak mencerminkan realiti kos sara hidup di bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Garis kemiskinan kebangsaan kini ditetapkan pada paras RM980 bagi satu isi rumah sebulan. Ini bermakna satu keluarga 4 orang hidup atas RM8 setiap orang sehari.

Suruhanjaya itu menambah, laporan oleh pelapor khas mengenai kemiskinan dan hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Philip Alston bahawa “kadar kemiskinan sebenar” di Malaysia antara 15-20% adalah realistik.

“Dasar kerajaan untuk kumpulan B40 (B40) jelas menunukkan peralihan ke arah pelaksanaan MPI untuk Rancangan Malaysia ke-12 yang akan diselaraskan dengan inisiatif kemakmuran bersama merangkumi 3 dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan pembinaan semula sosial.”

Ia berkata, penggunaan MPI dalam pelan pembangunan 5 tahun yang akan datang dapat mengukur intensiti kemiskinan dengan lebih tepat berdasarkan kekurangan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan taraf hidup melalui skop bukan berasaskan pendapatan dan penggunaan.

“Pengukuran kemiskinan yang lebih tepat akan membolehkan pembuat dasar mengenal pasti dan menyasarkan program pembasmian kemiskinan kepada isi rumah, kumpulan dan individu yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.

Suhakam juga menyeru Putrajaya supaya melaksanakan pembasmian kemiskinan berasaskan program hak asasi manusia, termasuk standard hak asasi manusia dalam perancangan dasar.

Program sedemikian katanya, berupaya memberikan tumpuan kepada penjagaan kesihatan yang berpatutan, pekerjaan, pendidikan berkualiti dan pertumbuhan inklusif serta merapatkan jurang ketaksamaan.

“Terdapat banyak faktor yang memberi kesan ke atas individu atau kumpulan yang mengalami kemiskinan, dan dengan mengambil pendekatan yang pelbagai dimensi, program sedemikian akan menjadi lebih mampan dan berkesan.”

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji laporan Alston dan menyemak semula kaedah pengukuran kemiskinan jika perlu.

No comments: