Wednesday, September 4, 2019

Skuad Amar Maaruf Nahi Mungkar” Cekup 9 Pelaku Sumbang Di Ambang Merdeka


 
MARANG– Seramai sembilan pelaku sumbang berjaya ditangkap dalam satu operasi melibatkan Skuad Amar Maaruf Nahi Mungkar dan Pegawai Penguasa Syariah (PPS) Marang bersempena malam Sambutan Merdeka, baru-baru ini.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Unit Pegawai Penguatkuasa Syariah, Sharimah Mamat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Daerah Marang  bermula seawal jam 11.00 malam sehingga 7.00 pagi.

Serbuan yang disertai oleh 30 orang anggota PSS termasuk sukarelawan telah dijalankan di tempat-tempat yang menjadi titik panas seperti, hotel, rumah tumpangan dan kawasan tertentu di seluruh daerah Marang.


Antara yang ditahan adalah lima lelaki dan empat perempuan didalam lingkungan umur 16 tahun sehingga 42 tahun, di mana satu kes telah melibatkan tiga remaja lelaki dan dua remaja perempuan di dalam satu bilik hotel.

Sharimah Mamat berkata, dalam operasi tersebut, mereka yang ditangkap diarahkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Daerah Marang pada 3 Disember 2019 untuk dibicarakan atas satu kesalahan bawah seksyen 29 dan dua kesalahan seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.


Dalam perkembangan yang sama, Syarimah menjelaskan bahawa dengan penubuhan dan bantuan sukarelawan Skuad Amar Maruf Nahi Mungkar ini, usaha membanteras jenayah syariah dapat dilipat gandakan.

“Di samping membuka mata masyarakat bahawa kerja ini adalah tanggunjawab bersama, ia juga dapat memberi peluang untuk komuniti memahami masalah jenayah syariah ini perlu diberi perhatian serius kepada masyarakat," ujarnya lagi.

Manakala Ketua Skuad Amar Maaruf Nahi Mungkar, Nasaruddin Samsudeng berkata, skuad ini telah ditubuhkan buat kali pertama melibatkan sukarelawan daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Badan Bukan Berajaan (NGO) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

"Dengan penubuhan skuad ini, mereka juga akan terus bergerak dengan kerjasama JHEAT dan Polis Diraja Malaysia untuk mencegah masalah jenayah syariah daripada terus berleluasa lebih-lebih lagi melibatkan anak muda.

‘Kami juga sedia memberikan bantuan sepenuhnya memandangkan, Pihak PPS sendiri mempunyai kekangan seperti kenderaan dan tenaga sukarelawan untuk menjalankan operasi seperti ini,” tambahnya.

https://www.teganukita.net
 
 

No comments: