Tuesday, September 3, 2019

Salah ke Melayu bantu Melayu?

Oleh Athirah Huda Zalhe 

 

Kenyataan Wee Ka Siong hanya untuk hidupkan hayat politik MCA

BANGI – Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mendakwa kempen utamakan produk keluaran muslim sebagai langkah mensabotaj ekonomi negara, hanyalah tindakan terdesak untuk meraih kembali undi rakyat Cina bagi menghidupkan semula hayat politik parti itu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan terdesak Ka Siong itu hanyalah bersifat politik demi ‘mengambil hati’ pengundi Cina yang sudah tidak lagi melihat MCA sebagai parti politik yang relevan.

Membidas kenyataan Ka Siong hari ini, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kempen yang giat dilancarkan di media sosial ketika ini bukanlah untuk memboikot produk bukan Islam, apatah lagi mahu meruntuhkan ekonomi negara seperti yang dituduh pihak tertentu.

Terdahulu, Ka Siong dalam satu kenyataan mendakwa kempen utamakan produk keluaran Islam yang ditularkan ketika ini sebagai bercanggah dengan semangat negara serta langkah mensabotaj ekonomi.

“Jangan mengeruhkan lagi keadaan kerana orang Melayu merupakan pekerja paling ramai dan jangan sakiti sesiapa kerana tiada ahli perniagaan akan memilih pelanggan berdasarkan bangsa dan agama. Malah, seruan boikot itu adalah pelik dan tidak rasional.

“Kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan, jadi apakah mesej cuba dihantar kepada dunia di luar sana? Kebanyakan produk tempatan sudah mempunyai kepatuhan halal dan pihak pengeluar menyasarkan produk mereka kepada semua rakyat Malaysia,” kata Ka Siong.

Mengulas perkara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkata, sebagai pemimpin politik dan anggota Parlimen, Ka Siong sepatutnya berperanan menasihati peniaga Cina supaya memastikan produk keluaran mereka bersih dan terjamin halal.

“Ini kerana sudah banyak kali dipaparkan terdapat makan yang tidak halal dijual di kedai. Ka Siong juga seharusnya berjumpa dengan persatuan peniaga Cina supaya mereka menasihati DAP dan sekutunya, untuk tidak mempolitikkan isu ini dan tidak menghina Melayu.

“Beliau juga harus menasihati orang Cina supaya membeli di kedai Melayu, jika benar-benar mengamalkan dasar kemakmuran dan integrasi kaum. Belia perlu lihat bahawa keadaan ekonomi orang Melayu adalah terendah bagi kaum lain.

“Adakah salah jika orang Melayu bantu sesama Melayu, kerana orang Cina pastinya tidak akan bantu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.


No comments: