Friday, September 20, 2019

‘Kamu beri Najib maklumat salah dan kerjasama dengan Jho Low’

MALAYSIAKINI

   

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin, adalah pemilik anak syarikat “palsu” International Investment Company (IPIC) yang menerima ratusan juta dolar berkaitan 1MDB.

Pada hari ke-10 perbicaraan jenayah 1MDB bekas perdana menteri itu, peguam utamnya, Muhammad Shafee Abdullah cuba membuktikan bahawa saksi Amhari adalah pemegang saham tunggal Aabar Investments PJS BVI (Aabar BVI).

Aabar BVI dilaporkan telah ditubuhkan sebahagiannya oleh ahli perniagaan yang kini menjadi buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, bersama-sama dengan pegawai “kotor” syarikat Aabar yang sebenarnya, iaitu anak syarikat IPIC yang sah.

Sebelum ini, adalah dilaporkan bahawa AS$577 juta didakwa diselewengkan kepada syarikat palsu itu, Aabar BVI, pada tahun 2012.
Iklan
Semasa pemeriksaan balas saksi, Muhammad mencadangkan kepada Amhari bahawa dia memiliki syarikat itu melalui Tycoon Gain Ltd yang juga adalah pemilik Aerosphere Ltd.

Adalah dinyatakan dalam perbicaraan sebelum ini bahawa Aerosphere adalah syarikat Amhari di mana dia pernah membuka akaun dengan bank BSI di Singapura di bawah arahan Low.

Walau bagaimanapun, Amhari menafikan maklumat berkenaan walaupun dia bersetuju bahawa dokumen yang dikemukakan menunjukkan bahawa Tycoon Gain dan Aerosphere Ltd menggunakan pejabat yang sama kerana mereka berkongsi alamat yang sama.

Shafee: Ini adalah apa yang mereka panggil Aabar palsu - Aabar BVI - (dan) kamu pemegang saham tunggal?
Amhari: Saya tidak tahu.

Shafee: [...] Saya cadangkan kepada kamu bahawa sebagai Aerosphere milik Tycoon Gain Ltd, (dan) Aabar Investments PJS Ltd juga dimiliki oleh syarikat yang sama, yang bermaksud kamu adalah pemilik Aerosphere Ltd serta Aabar Investments PJS Ltd.
Amhari: Saya tidak tahu.
Shafee kemudian menuduh Amhari menyembunyikan maklumat tentang pemilikannya dalam Aabar BVI daripada SPRM dan mahkamah untuk menyembunyikan peranannya dalam skandal 1MDB.

Shafee: Kamu sedar ini, tetapi kamu secara aktif menyembunyikannya daripada kami, SPRM dan pihak pendakwa. Kamu cuba menyembunyikan penglibatan dalam 1MDB ini.
Amhari: Saya tidak setuju.

Shafee: Kamu bekerja rapat dengan Jho Low dari mula lagi, atas sebab itu kamu terus beri Najib maklumat yang salah dan bekerja sama dengan Jho Low.
Amhari: Saya tidak setuju.

Shafee: [...] Kamu pemilik Aabar palsu, maka kamu pakat dengan Jho Low untuk ke Abu Dhabi untuk menyembunyikan kebenaran dan perdana menteri tidak tahu mengenai (itu).
Amhari: Saya tidak setuju.
Amhari yang berusia 43 tahun memberi keterangan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, dan juga 21 pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.


No comments: