Wednesday, September 4, 2019

Cabar Tun M bubar Parlimen

Manzaidi Mohd Amin

mohdhairijohor
Mohd Hairi Md. Shah
 

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Johor mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam mada terdekat.

Cabaran itu dibuat selepas pihaknya merasa terpanggil dengan keyakinan Perdana Menteri bahawa Pakatan Harapan (PH) masih boleh memenangi pilihan raya sekiranya Parlimen dibubarkan.

Menurut ketua pemuda itu, Mohd. Hairi Md Shah, beliau tidak tahu apakah kenyataan Mahathir itu berdasarkan fakta atau sekadar cakap politik PH yang sedar gelombang penolakan rakyat terhadap mereka cukup kuat ketika ini.

“Apatah lagi dengan segala janji yang gagal ditunaikan melalui manifesto ditawarkan serta pelbagai pendirian kerajaan terpaksa u-turn sehingga menggadai prinsip perjuangan mereka.

“Penolakan rakyat cukup jelas, baik golongan dewasa, orang tua mahupun anak muda sudah muak dan jelik dengan kegagalan demi kegagalan yang disajikan kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Jumaat lalu, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary, Mahathir dilaporkan berkata, beliau yakin PH akan kekal berkuasa jika PRU diadakan sekarang.

Perdana Menteri itu menyatakan keyakinannya berikutan timbul dakwaan pengaruh PH semakin merosot dan pengundi mula beralih arah kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu semasa.

“Walaupun ada yang kata kita akan kalah, tetapi kita yakin jika kita bertanding hari ini, kita menang juga,” katanya.

Menurut Mohd Hairi, kegagalan Perdana Menteri menangani secara berkesan isu perkauman yang semakin membarah dan penghinaan terhadap agama Islam antara factor kekalahan PH pada PRU akan datang.

Bahkan, kata beliau, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) seperti Dr. Rais Hussin juga mengakui PH akan jadi kerajaan sepenggal jika gagal melunaskan janjinya.

“Lebih malang lagi Dr. Rais bakal berdepan tindakan oleh partinya sendiri kerana memberikan peringatan itu,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Johor menghormati keyakinan Dr. Mahathir jika beliau yakin PH mampu menang, malah mencabarnya membubarkan Dewan Rakyat.

“Di situ barulah Mahathir boleh mengetahui kekuatan sebenar PH ataupun pembangkang yang kini menerima sokongan padu rakyat.

“Saya kira pembangkang kini kira berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRU memandangkan keadaan kerajaan hari ini tidak menentu.

“Ataupun jika Mahathir merasakan sudah tidak mampu lagi untuk melayan karenah DAP, elok juga serahkan jawatan Perdana Menteri Ke-8 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang setia menunggu,” ujarnya. – MalaysiaGazette


No comments: