SEKUMPULAN 18 warga asing yang mahu menghabiskan cuti sempena Maal Hijrah tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam operasi di Terminal Pengangkutan Penang Sentral, Butterworth, hari ini.
Dalam operasi bermula 11 pagi itu, seramai 676 warga asing dari pelbagai negara diperiksa selepas mereka turun dari bas.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, Kholijah Mohamad berkata, pemeriksaan mendapati 18 daripada mereka berusia 20 hingga 40-an melakukan kesalahan di bawah akta imigresen.
“JIM negeri meningkatkan operasi pada cuti am dan hujung minggu dalam mengurangkan kebimbangan penduduk tempatan yang kurang selesa dengan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Apatah lagi, kita melihat pada hari cuti seperti ini ramai warga asing keluar dan menjadi tugas kita untuk membanterasnya,” katanya pada sidang media, hari ini.
Kholijah berkata, dalam operasi diadakan selama satu jam itu pihaknya memeriksa warga asing antaranya dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Kemboja.
Beliau berkata, antara kesalahan dikesan adalah tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan tidak mempunyai permit sah.
“Selain itu, ada di antara mereka yang permit pekerjaan sudah dibatalkan majikan, namun mereka tidak kembali ke negara asal.
“Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Juru untuk siasatan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment