Sunday, December 23, 2018

Lompat parti, risiko kepada PH

Oleh


SUASANA politik nasional kelihatan tenang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Cuma di Sabah agak bergolak berikutan Barisan Nasional (BN) negeri itu memiliki majoriti kecil untuk membentuk kerajaan dengan sokongan parti Solidariti. Pecahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada masa itu adalah BN (29), Solidariti (2), PKR (2), DAP (6) dan Warisan (21). Tan Sri Musa Aman kemudian mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun kedudukannya tidak selamat.

Dua hari selepas Musa mengangkat sumpah, enam orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN umum keluar parti. Mereka menyertai Warisan dan bekerjasama dengan DAP serta PKR untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Musa. Di situlah bermulanya aktiviti melompat parti oleh wakil rakyat selepas PRU-14 dan berterusan sehingga kini.

Fenomena ini tidak boleh dikawal kerana tiada undang-undang bagi mencegahnya. Sememangnya wujud risiko lompat parti apabila tidak ada parti yang memiliki majoriti besar di DUN atau Parlimen.

Di DUN Perak, BN (27), Pas (3) dan Pakatan Harapan (PH) 29.  DUN Negeri Sembilan, BN (16) dan PH (20). DUN Kedah, BN (3), Pas (15) dan PH (18). DUN Melaka, BN (13) dan PH (15). Kerajaan negeri yang disebutkan itu boleh tumbang bila-bila masa jika ada wakil rakyat melompat parti.

Kini isunya terhadap wakil rakyat UMNO yang keluar parti dan menyertai Bersatu. Keadaan ini jika berterusan, banyak kesannya kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Jadi, wakil rakyat yang pro- Anwar Ibrahim mula resah dan tidak senang duduk dengan perkembangan ini.

Lebih pedih lagi peluang PKR untuk melihat Anwar menjadi Perdana Menteri boleh terkubur jika fenomena melompat parti tidak dapat dikawal termasuk wakil rakyatnya sendiri. Walaupun pemilihan PKR telah selesai difahamkan masih wujud puak-puak dan kem-kem yang ada matlamatnya masing-masing. Malah kecenderungan melompat parti boleh berlaku khususnya dalam kalangan mereka yang kurang bersetuju dengan Presiden.

Parti yang ditinggalkan bakal merana dan parti yang disertai bakal mendominasi kuasa. Jadi, Bersatu sebagai satu parti kecil dalam PH bakal berubah untuk kekal di tampuk kuasa. Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah watak penting dalam hal ini. Apabila ramai ahli Parlimen menyertai Bersatu, parti protege Tun M menjadi dominan dan pasti mencabar status-quo PKR dan DAP selaku tunjang utama dalam PH.

Yang pasti, jika semua ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu, kedudukan Tun M semakin kukuh meskipun partinya ada 12 kerusi sahaja. Penyertaan semua Ahli Parlimen UMNO akan menjadikan Bersatu mempunyai 66 kerusi. Jika disokong oleh Warisan (8), GPS (19) dan Pas (18), Dr. Mahathir bakal menguasai 111 kerusi dan perlu satu kerusi lagi untuk membentuk kerajaan. Kerusi itu boleh jadi daripada MIC (2 kerusi), MCA (1) mahupun UPKO (1).

Ini adalah risiko besar buat kerajaan PH yang sekali gus menjadikan kedudukan PKR dan DAP dalam kerajaan goyah dan di ambang bahaya lebih-lebih lagi jika ada ahli Parlimen PKR menyertai Bersatu.

Justeru, permainan politik licik ini penentu Perdana Menteri selepas Dr. Mahahtir. Percaturan secara matematiknya sangat mudah. PKR perlu stabil dan perlu ada solidariti bagi memastikan kedudukan parti itu dalam kerajaan PH selamat. Jika PH didominasi oleh Bersatu dan PKR sendiri tidak stabil, hasrat melihat Anwar sebagai Perdana Menteri boleh dilupakan.

Apabila mampu menguasai majoriti, Dr. Mahathir boleh melantik  sesiapa termasuk ahli Parlimen dari PKR yang menyertai Bersatu sebagai Timbalan Perdana Menteri. Jika ini menjadi realiti, tepatlah ramalan banyak pihak bahawa Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri.

Inilah risiko jika melompat parti itu berterusan. Walau bagaimanapun, mahu tidak mahu PKR dan DAP serta Amanah dalam PH perlu menerima keadaan itu kerana masing-masing tidak mempunyai kelebihan besar antara satu sama lain.

Sebagai parti kecil dan baharu, Bersatu semestinya mempunyai matlamat untuk mengukuhkan kedudukan dan sokongan kepadanya dalam kerajaan mahu pun dari segi perwakilan dalam Parlimen dan DUN. Jadi, jalan dan peluang yang ada menerima kemasukan ahli Parlimen UMNO dan seterusnya ini memberi peluang kepada Bersatu bertapak kukuh di beberapa buah negeri.

*DR. MALIKE BRAHIM ialah Perunding Kanan Global Political Analyst and Academic Consultant (GoPAC)
 

No comments: