THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Malaysian Official no.1 yang sebelum ini ditutup begitu rapi akhirnya pecah terburai pada saat kerajaan Barisan Nasional yang memerintah tumbang di tangan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tumbangnya apa yang dipanggil kerajaan kleptokrasi BN itu pada 9 Mei lalu membuka ruang kepada kerajaan baharu parti gabungan Pakatan Harapan (PH) membongkar satu demi satu penyelewengan dan salah guna kuasa dalam skandal mega itu yang melibatkan wang berbilion ringgit.
Sebelum tegaknya kerajaan PH, siasatan mengenai 1MDB hanya dapat dilakukan oleh kerajaan-kerajaan luar termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Singapura, Switzerland dan Indonesia.
Keputusan PRU14 itu membolehkan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara yang sekali gus membenamkan 61 tahun pentadbiran BN.
Berikutan itu, pada 15 Mei, kerajaan PH bertindak mengklasifikasi semula dokumen 1MDB oleh Jabatan Audit Negara yang sebelum ini dikelaskan sebagai “Rahsia” di bawah Akta Rahsia Rasmi sejak Januari 2016.
Pengklasifikasian semula dokumen itu membuka “terlalu banyak pekung di dada”.
Ringkasan eksekutif dokumen tersebut antaranya mendedahkan 1MDB memerlukan kira-kira RM42.26 bilion untuk membayar kos prinsipal dan faedah pinjaman yang matang antara November 2015 hingga Mei 2039.
Melihat keadaan ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menjalankan serbuan ke atas empat kondominium mewah di ibu kota yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya.
Serbuan tersebut mengejutkan rakyat seluruh negara apabila polis mendedahkan rampasan 72 bagasi berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga serta hampir 300 kotak berisi beg tangan pelbagai jenama mewah yang dikaitkan dengan 1MDB yang dianggarkan bernilai antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Rentetan daripada itu, satu Pasukan Khas Siasatan 1MDB dibentuk pada 21 Mei bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes syarikat pembangunan strategik milik Kementerian Kewangan itu, termasuk penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan yang diselewengkan di dalam dan di luar negara.
Pada 29 Jun, Pasukan Khas itu mengesahkan telah membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO serta parti-parti politik yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB.
Berikutan itu, pada 4 Julai, bekas perdana menteri itu mula didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan di bawah Akta SPRM berhubung penyelewengan RM42 juta yang dikaitkan dengan kes SRC International Sdn Bhd, sebuah subsidiari, 1MDB.
Sehingga kini, Najib menghadapi 39 pertuduhan rasuah, pecah amanah, pengubahan wang haram serta penyalahgunaan kuasa berkaitan 1MDB dan bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan.
Salah laku dalam 1MDB telah didedahkan buat pertama kalinya oleh Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara (sekarang Damansara) Tony Pua di Dewan Rakyat pada 2010. Cubaan demi cubaan oleh pembangkang pada masa itu untuk membangkitkan isu tersebut ditangkis hebat oleh BN.
Sepatutnya langkah-langkah diambil untuk membetulkan keadaan, namun sebaliknya, Najib telah mengeksploitasi jentera kerajaan untuk menutup kesalahan 1MDB termasuk menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara ketika itu untuk membersihkan nama beliau daripada segala dakwaan berkaitan 1MDB.
Di sebalik dakwaan dan pembongkaran yang dibuat, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat syarikat itu bertegas menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan berkenaan salah laku syarikat itu.
Penyiasatan terhadap 1MDB mencatatkan satu lagi perkembangan signifikan apabila kerajaan Malaysia mendapat kembali hak milik ke atas kapal layar mewah Equanimity kepunyaan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, yang dibeli dengan dana 1MDB.
Kapal mewah bernilai RM1 bilion tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos selepas kerajaan Indonesia bersetuju untuk menyerahkannya kepada Malaysia selepas ia disita di perairan dekat Bali, Indonesia sejak awal tahun ini.
Buat masa ini, bidaan terhadap Equanimity telah ditutup dan terkini peguam 1MDB Sitpah Selvaratnam dilaporkan berkata bahawa ia akan dijual dengan nilai sembilan digit sebelum 31 Mac depan.
Di AS, siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) negara itu juga telah membawa kepada pendakwaan terhadap bekas pengarah urusan Goldman Sachs Roger Ng di sebuah mahkamah di sana kerana terbabit dalam konspirasi pengubahan wang haram milik 1MDB.
Susulan itu, Roger Ng telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Nov atas waran yang dipohon oleh kerajaan AS.
Kerajaan Malaysia juga telah menyatakan kesediaan untuk mengekstradisi Ng ke AS untuk menghadapi pertuduhan.
Laporan media menyatakan Malaysia sedang menyiapkan fail tuntutan saman sivil terhadap bank pelaburan AS, Goldman Sachs untuk mendapatkan semula dana RM18.88 bilion nilai kerugian yang dialami menerusi urus niaga dengan 1MDB.
Pada 24 Nov lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan Laporan Akhir 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada 2016 telah diubah antaranya atas arahan Najib.
Madinah menyatakan antara maklumat penting yang telah digugur atau dipinda termasuk kehadiran Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan status kewangan sebenar yang dihadapi syarikat itu.
Dalam pada itu, keberadaan Jho Low yang dikatakan menjadi dalang utama kemelut 1MDB masih menjadi misteri.
Meskipun Jho Low telah didakwa secara ‘ïn absentia’ di mahkamah atas kesalahan jenayah pengubahan wang haram, usaha pihak berkuasa untuk mengesan dan mengekstradisinya ke Malaysia masih tidak membuahkan hasil.
Memandangkan ini satu kes rumit dan melibatkan banyak pihak di dalam dan luar negara, proses perundangan dan pendakwaan terhadap pihak terlibat dengan penyelewengan dana awam 1MDB dijangka mengambil masa yang panjang.
Namun, di sebalik cabaran yang dihadapi, proses tersebut harus diteruskan.
Malah, Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini menyatakan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan terus menyiasat salah laku berhubung 1MDB bagi memberi keadilan kepada rakyat Malaysia.—Bernama
No comments:
Post a Comment