Skuad
Pengurusan Jenazah, Md Noor Shafie bercakap semasa temubual khas
mengenai pengurusan jenazah di Restoran Taj Hadramawt, Melati Utama,
Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
KUALA LUMPUR – Menguruskan mayat reput yang berulat dan berbau
merupakan tugas yang bukan mudah dan tak ramai yang sanggup
melakukannya.
Apatah lagi dengan keadaan fizikal mayat yang ‘rapuh’ dan mudah
‘tertanggal’ hingga menyebabkan hanya yang cekal serta tabah sahaja yang
sanggup memikul tugas berat tersebut.
Namun bagi ahli-ahli Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), tidak
ada istilah gentar atau takut bila menerima mayat yang dalam keadaan
sedemikian rupa.
Ini kerana bagi mereka, sama ada jenazah yang perlu dimandi dan
dikafankan itu reput atau sempurna, tanggungjawab untuk menguruskannya
sesempurna mungkin sebagai seorang Islam perlu diutamakan terlebih
dahulu melebihi segala-galanya
Bagi salah seorang ‘orang kuat’ SPJM, Mohamad Noor Shafie, 39,
disebalik segala persepsi dan stigma yang dikaitkan dengan mayat reput,
tidak ramai sebenarnya yang tahu bahawa jenazah sebegini sebenarnya
lebih mudah dikendalikan berbanding mayat yang sempurna.
(Salah satu jenazah yang dikendalikan oleh Mohamad Noor dan ahli-ahli SPJM)
” Selalunya mayat reput yang kami terima untuk dimandikan dan
dikafankan ini telah selesai menjalani bedah siasat (post mortem), jadi
keadaan mayat telah ‘dibersihkan’ lebih awal daripada ulat-ulat atau
kekotoran yang ada ditubuhnya.
” Apa yang saya dan rakan-rakan lain di SPJM lakukan adalah dengan
hanya melalukan air pada tubuh pada mayat dan mencukupkan rukunnya
sahaja.
” Lagipun mayat sebegini mudah tertanggal kulit dan anggota badannya,
jadi kita tak boleh menguruskannya terlalu terperinci seperti mana kita
menguruskan mayat biasa,” katanya pada Malaysia Gazette ketika ditemui
di sini baru-baru ini.
Mohamad Noor, seorang lulusan Sarjana Undang-Undang merupakan seorang
penjawat awam tetapi menyertai SPJM secara sukarela kerana menyedari
betapa mulianya terlibat dalam kerja-kerja ibadah seperti menguruskan
jenazah ini.
Bagi beliau, yang paling sukar sekali bila mengendalikan jenazah
reput adalah baunya yang terlalu kuat. Untuk itu, setiap kali beliau
mengendalikan mayat reput, beliau akan mengamalkan satu petua yang
diajarkan oleh seorang doktor dari Hospital Taiping kepadanya.
Menurut Mohamad Noor, caranya mudah sahaja, setiap kali bila menerima
mayat sebegini, perkara pertama yang akan beliau lakukan adalah dengan
‘menghidu’ bau mayat itu sekuat yang mampu!
” Saya akan hidu kuat-kuat untuk ‘one off’. InsyaAllah selalunya
masalah bau akan hilang dan kita akan selesa menguruskan jenazah
tersebut,” katanya sambil tersenyum.
Mengenai mayat mereka yang menghidap penyakit berjangkit dan
mempunyai virus seperti HIV/AIDS. Mohamad Noor mengakui ia memang
mempunyai cabaran yang tersendiri.
Ini kerana, katanya, ada beberapa prosedur yang telah ditetapkan oleh
pihak hospital bagi mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan
mayat yang mempunyai masalah tersebut.
Antaranya, menurut beliau, sebelum dimandikan, pihaknya perlu
melalukan dulu klorox ke tubuh si mati dan jenazah juga perlu dibungkus
dengan plastik.
Mereka juga, katanya, perlu memakai pakaian khas.
Pun begitu, katanya, ia lebih kepada untuk melindungi mereka yang
menguruskan jenazah tadi daripada risiko yang mungkin wujud kerana
menguruskan mayat yang mempunyai virus bahaya tersebut. Skuad
Pengurusan Jenazah, Md Noor Shafie bercakap semasa temubual khas
mengenai pengurusan jenazah di Restoran Taj Hadramawt, Melati Utama,
Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
Berbalik pada mayat reput tadi, Mohamad Noor menjelaskan, beliau juga
pernah mengendalikan satu mayat reput yang dibawa keluar terus daripada
beg mayat polis.
Jelasnya, walaupun selalunya mayat reput yang diterimanya selepas
dibuat bedah siasat, dalam kes ini, ‘post mortem’ tidak dibuat kerana si
mati memang mempunyai sejarah sakit jantung.
” Si mati diserang sakit jantung di hotel penginapannya. Ketika
ditemui, arwah dah empat hari meninggal dunia. Ulat dan bau busuk yang
kuat menerpa ketika saya hendak memandikan jenazahnya.
” Masa tu hanya saya dan seorang lagi rakan saya di bilik mayat itu.
Kebetulan ahli-ahli SPJM ada komitmen lain ketika itu, apalagi, dengan
kudrat yang ada kami uruskan juga jenazahnya sebaik mungkin.
” Kesimpulan yang saya boleh katakan beginilah, sebenarnya selain
pahala yang dijanjikan Allah, tugasan memandi dan mengkafankan mayat ini
banyak mengajar kita tentang erti keinsafan dan ketabahan. Keinsafan
bahawa suatu hari nanti kita juga akan melalui fasa kematian dan pada
masa yang sama mengajar kita erti ketabahan dalam menguruskan jenazah
yang datang dalam pelbagai bentuk dan rupa,” katanya. – Malaysia
Gazette.
No comments:
Post a Comment