Wednesday, September 19, 2018

Tommy Thomas ulas 100 hari pertama sebagai peguam negara

 
   
WAWANCARA | Peguam negara yang baru dilantik Tommy Thomas mengadakan satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini dan The Edge pada hari Khamis lalu - hari peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didakwa berhubung pengubahan wang haram.

Dalam wawancara utamanya yang pertama sejak menjadi AG, beliau yang berusia 66 tahun dan pengarang dua buah buku itu bercakap mengenai tugasnya yang besar di negara ini.

Khususnya, Thomas bercakap mengenai kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh jabatannya dalam kes 1MDB, tindakan sivil yang diambil oleh Kerajaan Malaysia baru di Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland untuk mendapatkan balik aset dana kekayaan negara yang gagal itu, kritikan terhadap pelantikan peguam luar dalam kes pendakwaan 1MDB dan SRC International dan menuntut jet Jho Low di Singapura.

Mengenai kesukarannya yang dihadapi jabatannya, Thomas berkata, "Saya akan mengatakan bahawa tidak pernah dalam sejarah jabatan itu terdapat begitu banyak tuntutan untuk pendakwaan kerana salah laku lalu yang telah bertimbun sejak bertahun-tahun, masalah yang saya warisi."

Mengenai 1MDB, AG berkata jabatannya telah membentuk satu pasukan khas untuk mengendalikan salah satu kes perundangan yang paling rumit yang pernah dihadapi oleh negara.

Beliau bercakap tentang tindakan undang-undang di Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland, di mana peguam di sana telah dilantik untuk memulakan tuntutan semula aset 1MDB dan objektifnya aialah untuk memasukkannya ke dalam sebuah tabung yan ditubuh khas.

"Kita telah membuka satu akaun, akaun khas yang dikawal oleh MOF (Kementerian Kewangan). MOF dan pengarah-pengarah baru 1MDB yang mengawalnya.

Walaupun ada seruan agar agensi penguatkuasaan seperti polis dan SPRM untuk diberikan kuasa pendakwaan, Thomas tidak setuju dengan idea itu.

"Saya tidak setuju dengan mereka yang berkata SPRM perlu (ada kuasa) mendakwa. Mereka tidak tahu betapa besar kuasa akan diberi kepada SPRM jika ia berlaku. Sistem sedia ada mungkin yang paling kurang buruk. Tetapi kekurangan perkara ini adalah tidak banyak yang boleh dilakukan pejabat peguam negara jika agensi tidak memberikan kertas siasatan.

"Kami tidak boleh buat apa-apa sehingga mendapat kertas siasatan. Jadi sehingga hari ini, tiada satu pun kertas siasatan berhubung 1MDB diberikan kepada kami."

Peguam negara ini juga menyentuh soal kritikan terhap lantikan peguam kanan Sulaiman Abdullah untuk mengetuai pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International dan lantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam kes 1MDB.

"Secara domestik, pejabat peguam negara pernah melantik peguam tempatan pada masa lalu. Datuk KC Vohrah, Tan Sri Cecil Abraham dan Dato’ Sunil Abraham dan firma mereka, Zul Rafique, dilantik untuk banyak kes sivil.

"Malah pasukan (pendakwaan) SRC gembira (dengan Sulaiman) kerana kebanyakannya belajar dengan Sulaiman di universiti. Mereka lihat Sulaiman sebagai guru intelektual mereka. Kita perlu melihat dari sisi apa yang diperlukan Malaysia. Rakyat Malaysia mahukan keadilan, keadilan yang pantas. Rakyat Malaysia patut mendapat yang terbaik," katanya lagi.

Thomas juga menjelaskan kenapa sukar untuknya mengetuai pendakwaan dalam kes SRC dan 1MDB. Beliau menawarkan contoh satu kes yang pernah dikendalikannya.

"Ketika perbicaraan bermula, anda perlu (dedikasikan) sepenuh masa dengannya, kerana pada sebelah malam anda perlu sediakan soalan balas. Selepas perbicaraan selesai, anda perlu buat kajian dan merangka penghujahan bertulis yang panjang. Saya seorang peguam yang mengambil komitmen mahkamah saya dengan serius dan profesional.

"Maka anda tidak boleh menggabungkannya dengan tugasan peguam negara, di mana perdana menteri mahu berjumpa dengan anda, Kabinet mahu nasihat anda, sidang Parlimen dan sebagainya.

 Ia mustahil, anda tidak boleh gabungkan semua tugas berat ini dengan tugas peguam di mahkamah.




Thomas juga menjelaskan mengapa beliau mengubah pendiriannya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dahulu pernah dikritiknya. Menurutnya, Mahathir kali ini bukan lagi seperti dulu. Ketika memulakan tugas sebagai peguam negara, Mahathir memberitahunya, "Beritahu saya jika ada yang tidak kena, beritahu saya jika saya tak boleh lakukannya."

"Jadi saya jawab, 'Baik Tun, saya akan lakukannya.'"

Berikut adalah bahagian pertama wawancara. Bahagian kedua dan terakhir akan diterbitkan esok.

Soalan: Bagaimana penilaian untuk 100 hari pertama anda?

Thomas: Cabarannya jauh lebih besar daripada jangkaan saya. Apa yang saya sebut di hari pertama saya masih lagi sama, iaitu saya ada tiga keutamaan.

Pertama, semua yang berkaitan 1MDB, yang bukan saja dalam aspek jenayah, tetapi juga pemulihan sivil. Kedua, kontrak berat sebelah, dan ketiga, reformasi undang-undang.

Ini semua memang sentiasa menjadi fokus saya, dan kekal begitu. Tetapi (hanya ketika) saya masuk pejabat dan mula bertugas, saya sedar tanggungjawab besar yang dimiliki jabatan ini.

Dan saya rasa anda tidak akan tahu kecuali apabila berada di sana. Ia sukat bagi sesiapa saja yang berada di luar - begitu juga dengan peguam swasta seperti saya dulu. Malah mereka yang berada dalam jabatan ini - ada kira-kira 1,200 peguam di sini - pun tidak akan memahami jumlah tanggungjawab (peguam negara). Jadi ia adalah satu kejutan untuk saya.

Bagaimana dengan kecekapan pegawai anda? Ada yang mengkritik bahawa tidak ramai yang cekap yang mengendalikan pendakwaan. Adakah anda rasakan ia satu masalah?

Saya fikir itu tidak adil. Kami ada pengkhususan tetapi tentulah ada kekurangan di beberapa bahagian. Misalnya dalam perkara seperti AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001), yang merupakan sangat kritikal dalam beberapa tahun akan datang, dan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) - juga sangat kritikal kerana kita perlu berurusan dengan banyak negara - kita ada pakar yang hebat.

Dan untuk penilaian semula kontrak, kita juga ada pegawai hebat dan saya sendiri berurusan dengan mereka. Berkaitan pendakwaan, apa yang akan saya katakan adalah tidak pernah dalam sejarah jabatan ini ada begitu banyak desakan untuk pendakwaan yang disebabkan salah laku masa lalu yang terkumpul bertahun-tahun lamanya, masalah yang diwariskan kepada saya.

Sama ada 1MDB atau tidak, ada senarai panjang kes yang menunggu sebaik kertas siasatan sampai kepada saya. Jika anda ada 1,000 pendakwa kelas dunia sekali pun, ia memang tidak memadai. Ini tanda kepada dakwaan jenayah yang terkumpul bertahun lamanya. Jadi tekanannya memang besar.

Sebab itu kami tubuhkan unit 1MDB, kami tubuhkan unit-unit yang berbeza kerana kami tidak pernah melakukannya sebelum ini. Jika Pejabat Peguam Negara melakukan perkara ini sejak 2011...maka ia tidak akan terkumpul (sebanyak sekarang).

Bandingkan dengan Amerika Syarikat. Jabatan Kehakiman (DOJ), yang jelas berkelas dunia kerana mereka ada ramai pegawai yang berbakat, akauntan forensik, peguam, lihat bagaimana Peguam Khas Robert Mueller dan pasukannya bekerja. Mereka mengambil masa lebih setahun sebelum melakukan pendakwaan. Dan kemudian mereka bergerak pantas, saya fikir mereka mendakwa kira-kira 20 individu dalam tiga bulan terakhir dan mereka juga mendapat beberapa sabitan.




Tetapi mereka mengambil masa setahun. Dan saya ingin beritahu skandal 1MDB adalah jauh lebih kompleks daripada dakwaan terhadap Presiden Donald Trump. 1MDB adalan kleptokrasi terhebat di dunia!

Anda menyebut tentang aspek kriminal dan pemulihan aset dalam kes 1MDB. Bolehkah anda kongsi pendekatan yang digunakan berhubung dua aspek ini?

Bagi aspek jenayah, kami tak boleh berbuat apa-apa selagi belum mendapat kertas siasatan. Perlu diingat dalam sistem kita - banyak negara juga memilikinya untuk menghalang terlalu banyak pemusatan kuasa - asasnya adalah untuk membahagikan kuasa. Semak dan imbang - maka empat atau lima agensi penguatkuasaan di Malaysia seperti polis, SPRM, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Kastam - ada lima atau enam badan yang menyiasat, tetapi mereka tidak boleh mendakwa. Kerana jika tidak mereka akan jadi begitu berkuasa.

Pejabat peguam negara akan mendakwa, kami ada monopoli dalam pendakwaan, dan kami tidak patut menjalankan siasatan kerana kami sudah begitu berkuasa, jadi anda boleh bayangkan betapa besar kuasa pejabat peguam negara jika kami juga menyiasat. Jadi saya tidak setuju dengan mereka yang kata SPRM patut diberi kuasa mendakwa. Mereka tidak tahu betapa besar kuasa akan diberi kepada SPRM jika ia berlaku. Sistem sedia ada mungkin yang paling kurang buruk.

Tetapi kekurangan perkara ini adalah tidak banyak yang boleh dilakukan pejabat peguam negara jika agensi tidak memberikan kertas siasatan. Kami tidak boleh buat apa-apa sehingga mendapat kertas siasatan. Jadi sehingga hari ini, tiada satu pun kertas siasatan berhubung 1MDB diberikan kepada kami. Berkaitan Jho Low (yang didakwa tanpa kehadiran - in absentia - bagi kesalahan pengubahan wang haram), pejabat peguam negara meminta polis untuk berkongsi siasatan mereka, dan kemudian kami dakwa dia. 1MDB belum lagi, tetapi harapnya ia akan berlaku tak lama lagi.

Anda tahu berapa banyak kertas siasatan dibuka berkaitan 1MDB?

Tidak. Dan tentu ada tahu pendirian umum SPRM - saya rasa mereka tegaskannya dua minggu lalu - iaitu 60 peratus (siasatan selesai). Mereka sudah katakan hal ini kepada saya ketika saya mula-mula dilantik. Apa yang mereka beritahu saya sama seperti apa yang mereka beritahu kepada awam.

'1MDB' adalah istilah pendek bagi penipuan besar yang berlaku lima, enam tahun merentasi dunia, melalui banyak transaksi.





 Jadi anda perlu melihatnya menurut sudut pandangan mereka yang merancangnya. Mereka merangka transaksi demi transaksi, urus niaga demi urus niaga. Jadi ada penipuan 2011, penipuan 2012, transaksi 2013 dan sebagainya.

Pendahulu anda, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dituduh bersekongkol menutup skandal 1MDB. Bolehkah kami jangka dia juga akan didakwa?

Saya tidak tahu tentang perkara itu. Kami belum pergi ke arah itu. Apa yang saya boleh beritahu - dan anda semua tahu - tiada pendakwaan terhadap 1MDB sepanjang tiga tahun dia menjadi peguam negara. Anda perlu tanya dia kenapa begitu. Begitu juga ketika peguam negara sebelumnya.

Ini kerana seperti yang anda tahu, 1MDB bermula daripada Terengganu Investment Authority (TIA) yang berlaku pada 2009 dan 2010. Saya sedar ada perkara tidak kena pada tahun-tahun itu hanya dengan bercampur dengan komuniti perniagaan, wartawan dan ahli politik. Mereka yang ada maklumat tahu ada yang tidak kena ketika itu. Jadi mengapa pendahulu saya tidak melakukan apa-apa? Anda perlu tanya mereka.

Adakah anda ada kuasa untuk meminta penyiasat memberi makluman terkini atau mempercepatkan siasatan?

Ya mereka memberi makluman. Tetapi saya mahukan kertas siasatan lengkap. Lebih baik ada pakej lengkap kerana jika tidak anda akan membacanya dua kali. Jadi ia tidak membantu secara praktikal, melainkan mereka memberikan pakej yang lengkap.

Sekarang saya perlu jawab aspek sivil. Ia adalah bahagian yang diabaikan sepenuhnya. Semua orang lupa kerana aspek jenayah lebih 'seksi' dan 'bernilai berita'.

Pemulihan sivil adalah satu perkara yang kurang dibangkitkan dan tidak difahami. Secara asasnya ia adalah untuk mengambil sebanyak mungkin aset yang dicuri, dan kebanyakannya di luar negara. Jadi kita bermula dengan AS. DOJ sudah berjaya, mereka bermula pada 2016.

Oleh kerana wang pembayar cukai digunakan, ataupun dicuri, untuk membeli aset-aset ini, jadi ia milik Malaysia secara amanah, tetapi dipegang oleh orang lain yang menyalahgunakannya. Jadi kita perlu buat tuntutan. Kita kerugian tiga tahun (untuk melakukannya).

Saya perlu ingatkan bahawa kerajaan dulu menjarakkan diri - pendirian umum mereka bahawa ia bukan aset Malaysia, padahal sebenarnya ia aset negara. Sebelum PRU ke-14, pendirian rasmi Malaysia bahawa ia bukan kepunyaan negara. Jarang ada benifisiari yang akan memberitahu seluruh dunia bahawa "ini bukan aset kami" dan itulah yang dilakukan Malaysia. Kita hanya mula bercakap benar selepas PRU ke-14.

Jadi kita perlu mencelah di AS. Kita telah melantik peguam dan mereka akan mencelah dalam prosiding mahkamah kerana ia agak teknikal dan membabitkan kekebalan kedaulatan dan persoalan kuasa perundangan (jurisdictional questions). Kami mendapat nasihat dan berharap dapat membuat keputusan tak lama lagi.

Kemudian di Singapura, ia juga sudah bermula dan prosesnya sama. Kita telah melantik peguam dan mereka hadir ke mahkamah. Ada yang senang dicapai. Tetapi jika ada pertikaian dan bangkangan, ia akan memakan lima hingga enam bulan. Kumpulan pertama defendan langsung tidak membantah. Mereka melepaskan semua tuntutan. Mereka menyerah kalah, jadi tiada masalah.

Dan Singapura mahu identiti defendan tidak didedahkan. Ia boleh difahami kerana Singapura mahu menggalakkan lebih ramai penuntut untuk melepaskan tuntutan mereka, dan sebagai ganti, Singapura tidak akan mendedahkan nama mereka. Ia masuk akal. Kita hanya mahukan aset kembali.




Adakah ia tidak akan didedahkan selama-lamanya?

Itu saya tidak tahu, bergantung kepada Singapura untuk menentukannya. Tetapi bagi kami, kami mahu aset dipulangkan ke Kuala Lumpur.

Adakah pejabat anda mempunyai petunjuk sebanyak mana wang (terlibat di Singapura)? DOJ menyebut AS$4.5 bilion dalam saman sivilnya.

Singapura tiada menyebutnya kerana mereka sendiri tidak pasti kerana ada sedikit pertikaian. Tetapi apa yang akan berlaku dalam kira-kira enam bulan seterusnya, kami akan mendapatkan perintah mahkamah, dan aset akan dikembalikan. Seperti yang anda tahu, kita telah membukan akaun khusus yang dikawal Kementerian Kewangan dan pengarah baru 1MDB.

Ia akaun pemulihan Kementerian Kewangan-1MDB?

Ya, diwujudkan secara khsusus. Selepas isu RM19 bilion wang GST, perlu ada akaun amanah khusus yang dilindungi dan dengan faedah, dikawal oleh pihak yang amanah.

Ini untuk semua pemulihan aset, bukan di Singapura sahaja?

Ya, ia bermula dengan Singapura. Kemudian kita ada Switzerland, mereka bekerjasama dengan kita.

Bagaimana dengan tekanan politik? Wujud tekanan politik terhadap pejabat peguam negara sejak anda dilantik, atau pesanan yang mengatakan anda perlu melakukan sesuatu perkara?

Langsung tidak. Mereka semua telah bertindak dengan baik dan betul: PM, Kabinet, menteri.
Tentulah saya sudah kenal ramai menteri kerana pernah bekerja dengan mereka pada masa lalu.

Mereka meletakkan soal undang-undang di tangan saya dan pejabat peguam negara. Tiada tekanan mahupun campur tangan.

Anda terkejut dengan perkara itu - tiadanya tekanan politik - terutama daripada PM yang sebelum ini dituduh mengawal kehakiman?

Tidak, saya tidak terkejut. Tun Mahathir adalah PM yang sudah berubah.

Anda benar-benar percaya perkara itu?

Sudah pasti. Setiap kali berurusan, Tun bertindak secara betul dan baik. malah ketika hari pertama saya, dia kata "beritahu saya jika ada yang tidak kena, beritahu saya jika saya tak boleh lakukannya." Jadi saya jawab, "Baik Tun, saya akan lakukannya."

Adakah pandangan anda terhadap Mahathir sudah berubah? Anda sebelum ini agak kritikal terhadapnya.

[Ketawa] Saya tiada keraguan bahawa PM dan anggota kabinet yang saya berurusan benar-benar percaya kepada pembaharuan. Jadi saya boleh sahkan bahawa saya sedang cuba menjadi peguam negara yang melaksanakan pembaharuan dalam sebuah kerajaan yang juga melaksanakan pembaharuan.

No comments: