Hanya orang yang tidak memahami perjuangan sanggup meninggalkan parti politiknya, kata Bob Lokman.
Justeru, Bob memilih untuk kekal menjadi anggota dan penyokong PAS walaupun parti itu gagal memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.
Tambah Bob lagi, parti yang dilanda ujian dan mengalami krisis dalaman adalah perkara lumrah dan hal itu tidak sepatutnya menjadi penyebab perjuangan itu berakhir.
“Selagi tidak mencapai tahap siasah, individu itu tidak akan sampai ke peringkat perjuangan yang sebenar. Dia hanya sampai pada peringkat ikut-ikutan.
“Jika individu itu tidak memahami perjuangan PAS misalnya, bermaksud dia hanya mengikut-ikut (menyertai perjuangan parti). Tetapi jika dia faham, itulah definisi perjuangan yang sebenar.
“Begitu juga dengan Umno. Baru-baru ini ramai yang keluar. Umno telah jadi polemik kerana ada yang tidak memahami perjuangan,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Masjid I’tisam TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor semalam.
Baru-baru ini, pemimpin veteran Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee mengumumkan meninggalkan parti dengan alasan demi "menjaga kepentingan Melayu dan Islam".
Keputusan itu dibuat seminggu selepas dua tokoh Umno yang lain, Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman keluar parti.
Selain itu, beberapa lagi pemimpin seperti bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar, Anggota Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali turut mengambil langkah sama.
Mengulas lanjut, bekas pelakon, pengacara, penulis lirik dan pelawak itu berkata, sesiapa yang keluar daripada parti masing-masing tanpa alasan kukuh menyebabkan dia hilang hormat pada individu terbabit.
“Jika faham ilmu perjuangan, kita tidak akan undur ke belakang. Kalau boleh, mati pun dalam perjuangan walaupun hanya tinggal sehelai sepinggang untuk menegakkannya.
“Dalam salah satu kes terbaru, keluar selepas 40 tahun berada dalam Umno, bermakna tokoh itu tidak faham kenapa beliau duduk dalam parti berkenaan.
“Beliau tidak boleh jangka apa-apa termasuk kejatuhan Umno. Begitu juga orang yang duduk dalam PAS lepas tu keluar. Dia hanya tengok PAS dengan pandangan dia,” katanya.
No comments:
Post a Comment