Wednesday, September 19, 2018

IGP: Notis merah Jho Low bergantung protokol Interpol

MALAYSIAKINI

   

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini mempertahankan kenyataannya berhubung tindakan permohonan notis merah Interpol ke atas Low Taek Jho atau Jho Low dan bapa ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB itu.

Fuzi dalam kenyataan medianya merujuk laporan Utusan yang mempersoalkan ketiadaan nama Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng dalam senarai orang yang dikehendaki polis antarabangsa (Interpol).

"Saya jelaskan di sini bahawa proses yang terlibat dalam permohonan untuk menyenaraikan mana-mana individu di dalam notis Interpol bergantung kepada protokol Interpol dan ia memakan masa serta harus melalui proses teliti yang ditetapkan agensi antarabangsa berkenaan.

"Berlandasakan protokol yang sama, pihak Interpol juga akan menetapkan sama ada nama yang tersenarai akan dipaparkan untuk tatapan umum atau pihak berkuasa yang berkaitan sahaja.

"Adalah diharapkan dengan penjelasan ini, tidak akan timbul lagi sebarang kekaburan yang boleh mewujudkan salah faham atau persepsi yang tidak benar berhubung tindakan yang sedang diambil pihak berkuasa ke atas Jho Low dan bapanya," katanya.

Mahkamah Sesyen Putrajaya 24 Ogos lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya bagi membolehkan PDRM memohon kerjasama Interpol untuk mengeluarkan notis merah bagi mengesan serta menahan dua beranak itu.

Jho Low dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa Jho Low terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB dan mencuci wang tersebut melalui sistem kewangan negara itu.

Jho Low bagaimanapun sehingga kini gagal dikesan dan menafikan tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.


No comments: