Friday, September 21, 2018

Saifuddin nafi PKR berpecah, mahu bergabung dengan UMNO

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini menafikan khabar angin parti itu akan berpecah dua dengan satu kumpulan bergabung bersama pembangkang, khususnya UMNO.

“Idea untuk bergabung dengan UMNO tidak timbul sama sekali dan tohmahan bahawa PKR akan berpecah kepada dua, tiga, empat ini telah dihadapi seawal kita tubuhkan parti 20 tahun dulu,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu.

Mengulas lanjut, beliau menganggap ‘cerita’ perpecahan PKR itu berpunca daripada keanggotaan parti sendiri yang merangkumi kelompok badan bukan kerajaan, bekas anggota UMNO, aktivis dan pemimpin masyarakat.

Perbezaan dan kelompok inilah yang sebenarnya menjadi kekuatan PKR, katanya.

Pada masa sama beliau membidas tindakan segelintir pihak yang menyifatkan pertandingan merebut jawatan dalam parti sebagai punca perpecahan PKR.

“Kalau pihak yang menawarkan diri bertanding merebut jawatan dalam parti dilihat sebagai punca perpecahan, pilihan lain apa yang ada,” katanya, menambah pemilihan parti adalah satu proses biasa dalam amalan demokrasi.

Yang penting katanya setiap yang bertanding menjaga adab dan tertib.

Sebelum ini, tular satu mesej menyatakan PKR akan berpecah dua dengan satu kumpulan bersama UMNO menubuhkan Barisan Harapan Malaysia yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala satu lagi akan menganggotai Pakatan Harapan Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.–Bernama

No comments: