Friday, September 21, 2018

Dr M akui pemimpin UMNO bertemunya

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terdapat pemimpin UMNO yang bertemu dengan beliau baru-baru ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bagaimanapun berkata sesiapa sahaja boleh bertemu dengannya dan pemimpin UMNO juga bebas bertemu sesiapa saja.

“Mereka datang berjumpa saya, saya berjumpa semua orang. Selepas berjumpa dengan saya, mereka berjumpa PAS pula.

“Kami bebas… bukan seperti sebelum ini. Dulu, jika kamu berjumpa orang yang salah, pegawai cukai pendapatan (Lembaga Hasil Dalam Negeri) akan cari kamu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 4 2018 di Perdana Putra, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat perbincangan untuk menarik pemimpin UMNO terutamanya Anggota Parlimen untuk menyertai PPBM.

Ditanya sama ada bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan hasrat menyertai PPBM dalam pertemuan mereka baru-baru ini, Dr Mahathir berkata perkara itu tidak dibincangkan.

“Beliau datang untuk berjumpa, tiada apa-apa tentang menyertai PPBM. Beliau ada perancangannya sendiri, lebih baik kamu tanya beliau,” katanya.–Bernama

No comments: