Saturday, September 1, 2018

PM: Mara kini bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Adam Abu Bakar
 
Mara terlibat dengan pembangunan di luar bandar, perniagaan, latihan pembelajaran dan macam-macam bidang lagi. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak lagi diletakkan dibawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, sebaliknya dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kata perdana menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan merombak semula kedudukan Mara dalam kementerian itu dibuat setelah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak yang tidak suka dengan keputusan kerajaan sebelum ini.

“Untuk 1 orang yang menguruskanya tidak mencukupi, sebab itu kita cuba untuk agihkan peranan Mara kepada beberapa kementerian, tetapi mendapat tentangan hebat kerana Mara diberikan kepada kementerian lain.

“Ada yang tidak suka, sekarang ini kita kembalikan Mara kepada 1 kementerian sahaja. Saya harap kementerian itu buat dan sanggup memikul beban yang besar.

“Kita serahkan Mara kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya dalam sesi forum Kongres Bumiputera Nasional di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali berkata, Mara tidak akan dipecahkan, sebaliknya ia diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Bahkah menyifatkan keputusan itu sebahagian langkah reformasi secara keseluruhan.

Dr Mahathir berkata, sehingga hari ini pihaknya masih melihat keperluan untuk melantik pegawai bagi membantu Mara, namun berjanji akan membantu demi memastikan Mara berjaya walaupun di bawah 1 kementerian sahaja.

“Mara bukan satu bidang kecil, ia terlibat dengan pembangunan di luar bandar, perniagaan, latihan pembelajaran dan macam-macam bidang lagi ada dalam Mara.

“Saya janji akan berikan bantuan secukupnya kepada kementerian ini, kalau ada keperluan pegawai kita akan sediakan. Kalau perlu ada bantuan dari pihak luar, kita akan beri.”

LIHAT VIDEO DI SINI

No comments: