Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menandatangi perjanjian untuk menobatkan beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.
Beliau berkata, banyak pihak mempersoalkan kebenaran sejauh mana Perdana Menteri akan mengotakan janji yang ditemeterai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PM).
Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) bersetuju melantik Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana beliau menerima agenda perubahan dan menandatangani dokumen mempertahankan kebebasan demokrasi serta badan kehakiman, menolak rasuah dan penyelewengan serta perkauman sempit.
“Beliau menandatangani (perjanjian) termasuk usaha membebaskan saya (dari penjara) dan memberi ruang kepada saya balik dalam kerajaan serta mengganti beliau sebagai Perdana Menteri.
“Orang lebih banyak ceritakan soal itu (saya menjadi Perdana Menteri), tetapi mereka lupa kita setuju kerana agenda reformasi itu dipersetujui dan ketika kita percaya Dr Mahathir akan melaksanakan janji,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Kiambang Bertaut dan Pidato Malaysia Baharu: Mengisi Harapan Rakyat di Putrajaya, Ahad malam.
Anwar juga turut menepis cakap-cakap beliau kini sudah tidak relevan lagi untuk memimpin.
“Walaupun ada teman mengatakan saya kian tua dan tidak relevan kerana saya terlalu sinis serta tidak mempercayai pimpinan muda, (tetapi) saya adalah pemimpin paling banyak memberi ruang kepada pemimpin muda, paling keras mengingatkan mereka jangan pijak rakyat yang pernah mengangkat dan mendokong kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agenda reformasi tidak boleh hanya diserahkan kepada golongan elit politik saja, tetapi harus membabitkan rakyat supaya dapat dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment