Wednesday, September 5, 2018

Perlu tahu perjuangan PKR

Perlu tahu perjuangan PKR
Nik Nazmi dan Sandrea ketika ditemubual Sinar Harian.
 
 
SHAH ALAM - Calon ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad memasang harapan tinggi untuk memberi kefahaman kepada ahli parti yang baharu tentang perjuangan sebenar PKR.

Menurut Nik Nazmi, selepas memenangi PRU14, ramai ahli baharu menyertai PKR yang disifatkan masih belum jelas dengan asas perjuangan sebenar parti.

"Insya-ALLAH misi pertama kita, kena hubungkan antara ahli asal parti, reformis dengan ahli yang masuk sebelum 2018 dan ahli baharu sebab ahli baharu sangat ramai.

"Pada saya mereka perlu faham tentang asas-asas perjuangan parti. Kita ini bukan seperti Umno dan kita tak nak jadi macam Umno. Kita bukan macam MIC, MCA dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian dalam sesi Sinar Live: Ke Mana PKR Selepas 20 tahun.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa berkata demokrasi hari ini jauh lebih mencabar.

"Mereka perlu faham tentang perjuangan dan idealisme parti, peristiwa reformasi serta deklarasi Permatang Pauh tapi pada masa yang sama juga kita semua perlu melihat ke depan sebab reformasi ialah apa yang telah berlaku.

"Tapi kita juga perlu melihat apa yang boleh ditawarkan kepada rakyat kerana dalam suasana demokrasi hari ini ia lebih mencabar. Dalam lima tahun akan datang rekod kita akan dinilai sebagai parti pemerintah bermakna kita tak boleh beri janji sahaja tapi juga menunaikan janji yang kita telah berikan,” katanya.

Nik Nazmi yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden PKR berkata, sokongan itu bukan bermaksud penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bagus.

"Bagi saya kita nak pastikan pasukan ini mantap sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) menjadi perdana menteri. Untuk tujuan itu, tokoh seperti Rafizi Ramli perlu diberikan tempat.

"Beliau memainkan peranan yang cukup besar dalam pilihan raya lalu sampaikan beliau sendiri tak boleh bertanding jadi dengan adanya beliau, Anwar akan mempunyai pasukan yang mantap. Bukan Azmin tidak baik tapi Rafizi lebih baik,” katanya.

Ketika ditanya alasan hanya memilih jawatan MPP untuk bertanding kali ini, Ketua Pemuda Harapan ini berkata jawatan itu di tempat kedua, apa yang lebih penting misi membantu pimpinan parti.

"Di peringkat MPP pun dalam suasana sudah menjadi kerajaan membawa nilai yang sangat besar.
Paling penting bagi saya ialah kelangsungan parti, jawatan itu bagi saya perkara kedua.

"Kita nak teruskan kelangsungan itu dan atasi kelemahan seperti di Pantai Timur di mana PH langsung tidak menang di Kelantan ataupun Terengganu, di Sarawak masih lemah dan di Sabah kita banyak potensi untuk menang.

"Jadi apabila saya sebahagian MPP nanti insya-ALLAH, saya akan berikan tumpuan mengisi kelemahan ini untuk betul-betul menjadi satu parti di peringkat nasional,” katanya.

No comments: