Wednesday, September 5, 2018

Hukuman syariah senjata bendung gejala sosial

LGBT
Gambar hiasan
 
 
SHAH ALAM - Falsafah hukuman syariah dilihat dapat memutikkan perasaaan gerun terhadap ALLAH SWT, demikian menurut  Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

Ujar beliau, hukuman itu, secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat khususnya yang beragama Islam agar menjauhi perkara yang dilarang dalam Islam.

"Ia juga dapat melahirkan keinsafan dan juga tidak dinafikan ia juga merupakan senjata yang dapat membendung gejala sosial seperti perlakuan seks luar tabie," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hukuman sebat syariah beri kesedaran]
[ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan lesbian dihukum sebat depan khalayak]

Justeru katanya, tindakan yang diambil oleh kerajaan Terengganu dalam menjalankan hukuman terhadap pasangan wanita yang melakukan jenayah musahaqah amat tepat, memandangkan kes-kes seumpama itu hangat diperjuangkan oleh golongan  lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Masyarakat perlu disedarkan, perlakuan menyanggahi fitrah ketentuan ALLAH itu bukan sahaja mengundang masalah kesihatan serta pelbagai penyakit malah merupakan dosa besar di sisi ALLAH dan akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak," katanya.

Selain Terengganu, Pahang juga membayangkan akan mengikut jejak negeri itu dalam melaksanakan hukuman sebat  ke atas pesalah LGBT.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani, berkata, perancangan pelaksanaan hukuman berkenaan memerlukan penelitian lebih mendalam dan perbincangan daripada pihak dan agensi yang terlibat.

"Kita menyokong hukuman kerana ia melambangkan keindahan Islam, tapi masih belum diputuskan lagi.. kita akan melihat perkara (hukuman) itu," katanya.

No comments: