Wartawan Watan-Online
PAS Selangor menyokong cadangan untuk menggabungkan parti pembangkang bagi membentuk Pakatan Malaysia, namun dengan syarat parti bukan Islam perlu menghormati asas perjuangan parti itu.
Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi berkata, parti bukan Islam perlu menghormati serta memahami dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS di negara ini.
“Begitu juga dengan perjuangan memartabatkan hukum hudud. Kita harap parti bukan Islam faham hudud ini hanya untuk orang Islam. Ia tiada kena mengena dengan agama lain.
“Kita yakin parti bukan Islam lain faham mengenai isu ini. Inilah dasar perjuangan PAS sejak dahulu hingga sekarang.
“PAS sentiasa menghormarti agama lain, cuma selama ini imej PAS telah dirosakkan pihak tertentu yang cuba melabelkan Islam yang dibawa PAS bersifat ekstrem,” katanya kepada Watan Online pada Selasa.
Sallehen berkata, berbeza dengan DAP yang membantah hukum hudud, beliau yakin MCA bersikap matang serta memahami hukuman itu hanya membabitkan orang Islam
“Sokongan PAS kepada calon MCA pada Pilihan Raya Kecil Balakong adalah permulaan untuk hubungan yang lebih erat.
“PAS yakin masyarakat bukan Islam semakin hari semakin memahami dasar perjuagan yang dibawa PAS,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata gabungan baharu membabitkan parti itu, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah akan diwujudkan bagi membentuk Pakatan Malaysia.
Beliau berkata, perkara itu tidak mustahil akan berlaku dengan berbekalkan formula yang betul dan utuh, mampu membentuk satu gabungan politik yang berupaya memberi tentangan hebat kepada Pakatan Harapan.
No comments:
Post a Comment