Lima belas lelaki maut manakala 33 lagi dimasukkan ke hospital dipercayai akibat keracunan arak di beberapa kawasan di Lembah Klang sejak semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata kebanyakan mangsa yang maut terdiri daripada warga asing dan warga tempatan.
Beliau berkata tujuh mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh, empat meninggal dunia di Hospital Kajang dan empat lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Selayang.
Katanya, 33 lagi mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh (15 orang), Hospital Kajang (15 orang), Hospital Selayang (seorang), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (seorang) dan Hospital Shah Alam (seorang) kerana mengalami simptom yang sama.
“Mangsa pertama yang merupakan pekerja sebuah kilang di Sungai Buloh maut sekitar pukul 7 malam semalam dan laporan mengenai kematian itu dibuat oleh majikannya. Kemudian, dua lagi kematian berlaku malam tadi.
“Pagi tadi didapati berlaku tiga lagi kematian, seorang lagi mangsa dilapor maut sekitar pukul 4 petang tadi dan yang terbaharu sehingga pukul 5 petang ini, jumlahnya mencecah sehingga 15 orang,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.
Menurut Mazlan, hasil maklumat yang diperoleh, kesemua mangsa dipercayai meminum dua jenis wiski dan satu jenis bir.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat terhadap mangsa.
“Laporan rasmi mengenai punca kematian masih belum diperoleh, namun begitu siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang dimasukan ke hospital adalah akibat minum minuman keras.
“Pemeriksaan juga sedang dijalankan di kedai-kedai yang berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment