Saturday, September 1, 2018

LANTIK SYARIKAT MINYAK ANAK MAHATHIR: DAP MEMBISU – CHEE TEONG

Wartawan Watan-Online

 


DAP ditempelak kerana hanya membisu berhubung keputusan kerajaan melantik Petron sebagai pembekal minyak kenderaan kerajaan.

Selain itu, kesemua enam menteri, enam timbalan menteri dan 42 ahli Dewan Rakyat DAP seolah-olah merelakan amalan kronisme di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong, Tan Chee Teong, berkata DAP digesa memberi penjelasan kepada rakyat berhubung keputusan kerajaan melantik Petron.

“DAP turut diminta menjelaskan kepada rakyat mengapa DAP tidak membantah projek kereta nasional ketiga oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada masa sama, mereka turut mendiamkan diri mengenai projek kereta nasional ketiga. Ini secara langsung membolehkan kembalinya era Mahathirisme,” katanya pada Jumaat malam.

Chee Teong turut mencabar calon Pakatan Harapan (PH) PRK Balakong, Wong Siew Ki untuk menjelaskan kepada rakyat mengapa DAP hanya membisu berhubung perkara itu.

Beliau turut mempersoal DAP, di mana semak dan imbang antara parti dalam PH seperti yang dimomokkan Siew Ki.

“Berikutan kegagalan DAP dan parti lain dalam PH untuk semak dan imbang antara satu sama lain, mereka harus memberi laluan kepada parti pembangkang untuk memainkan peranan itu.

“Sebelum ini, Siew Ki memandang rendah peranan pembangkang dengan mengatakan bahawa PH mampu melaksanakan semak dan imbang sendiri secara dalaman kerana semua parti sama taraf.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan DAP ketika bergelar pembangkang dahulu, parti itu pernah membantah dasar perlindungan yang diberi kepada kereta buatan tempatan termasuk amalan kronisme di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Katanya, selepas menjadi kerajaan, nampaknya DAP menukarkan pendirian mereka selain tidak berani menyuarakan bantahan lagi.

“Jika Siew Ki dipilih sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), beliau hanya setitik air dalam lautan 50 ADUN kerajaan yang lain.

“Beliau tidak mampu membawa perubahan, sebaliknya jika pengundi memilih seorang pembangkang sebagai wakil rakyat, ia mampu memperkuatkan semak dan imbang dalam kerajaan, sekali gus memastikan kerajaan tidak lagi membuat kesilapan,” katanya.


No comments: