Saturday, September 1, 2018

Halimey enggan debat kerana masa kempen suntuk

Manzaidi Mohd Amin

Halimey Abu Bakar
Halimey Abu Bakar

PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar tidak akan melayan sebarang cabaran untuk berdebat dengan calon Pas, Dr Halimah Ali dalam tempoh terdekat sini.

Sebaliknya, beliau hanya akan menyahut cabaran itu selepas selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 September ini.

“Ini bukan masa nak berdebat. Tempoh berkempen ada tujuh hari sahaja lagi dan saya masih ada beberapa kawasan yang perlu dilawati untuk bertemu dengan pengundi.

“Baki masa itu mendorong saya untuk bekerja lebih masa mendekati pengundi dan mengingatkan mereka supaya keluar mengundi pada 8 September ini.

“Kalau (Dr Halimah) nak berdebat juga, tunggu lepas PRK,” katanya pada sidang media harian beliau di padang terbuka Desa Mentari, dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr Halimah yang mengesahkan ada menerima jemputan daripada stesen televisyen Astro Awani yang menganjurkan perbedatan antara kedua calon PRK DUN Seri Setia, kelmarin.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang itu dilaporkan berkata, wakil stesen televisyen berbayar itu telah terlebih dahulu memaklumkan bahawa Halimey sudah pun memberikan persetujuan untuk turut serta.

Mengulas lanjut, Halimey yang merupakan bekas Ahli Majlis Mahjlils Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekali lagi menegaskan, beliau tidak menerima sebarang jemputan secara rasmi dan dakwaan Dr Halimah itu tidak benar sama sekali.

Ditanya perdebatan itu akan memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan visi dan misinya, Halimey berkata, setakat ini cukup dengan media yang ada sekarang memberi publisiti kepadanya sepanjang dua minggu berkempen.

“Anda-anda (merujuk wakil media yang hadir pada sidang medianya) semua sudah cukup. Anda tidak henti-henti membuat liputan program kempen saya dan sidang media harian saya sejak hari pertama 8 Ogos lalu lagi,” katanya. – MalaysiaGazette


No comments: