Tubuh petugas khas untuk dapatkan pandangan akar umbi, kenal pasti masalah berbangkit: Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memperhalusi dan meneliti kerjasama di antara partinya dengan PAS.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama kedua-dua parti demi penyatuan ummah, bukan untuk percaturan politik.
“Ia merupakan tuntutan agama kita iaitu Islam supaya kita bersatu dan bermuafakat.
“Kita mahu mengambil hati, suara-suara
akar umbi serta mengenal pasti masalah-masalah berbangkit,” katanya
kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan kali ketiga
Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata,
penubuhan pasukan khas adalah untuk mengumpul pandangan para perwakilan
Pemuda pada Persidangan Sayap Pemuda, Perhimpunan Agung UMNO 2018 pada
29 September ini.
Petugas khas ini akan dipengerusikan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama UMNO-PAS bukan gabungan politik
bersifat tahaluf siyasi, sebaliknya ia dibentuk dalam kerangka gagasan
parti pembangkang.
Katanya, kerjasama kedua-dua parti
mengikut garis perjuangan yang mempunyai kesamaan iaitu Islam, Melayu
dan rakyat tanpa mengira latar belakang.
No comments:
Post a Comment