Thursday, August 23, 2018

Pengorbanan hari raya demi emas negara

    
 
Pengorbanan menggalas cabaran negara sehingga tidak pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama keluarga tahun ini ternyata berbaloi buat pemain boling wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Kedua-dua pemain itu serta rakan sepasukan, Esther Cheah muncul sebagai penyumbang pingat emas pertama negara dalam kempen Sukan Asia 2018 apabila mengungguli acara trio wanita di Pusat Boling Jakabaring di Palembang hari ini.

Semasa ketibaan bulan Syawal pada Jun lalu, kedua-dua pemain tersebut menyertai Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat di Orlando dan kini Aidiladha hari ini terpaksa disambut di Palembang.

“Pengorbanan kita ini sangat berbaloi, walaupun dua hari raya tak beraya di bumi Malaysia,” kata Syaidatul Afifah, 26, pada sidang media selepas majlis pemyampaian pingat.

Sementara itu, Siti Safiyah Amirah, 27, pula mahu menghadiahkan kemenangan itu kepada ayahnya, Abdul Rahman Mohd Shariff yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-61, Jumaat ini.

“Ayah sangat gembira dengan pingat emas ini. Beliau berkata ini merupakan hadiah hari jadinya yang istimewa,” katanya.

Trio itu menamatkan kemarau emas 24 tahun acara tersebut selepas mencatatkan 4,326 jatuhan pin, mengatasi trio Taiwan, Pan Yu Fen, Chou Chia Chen dan Tsai Hsin Yi (4,255) dan trio Singapura, Yeo Ruo Qi Joey, Tan Daphne Shi Jing, Lim Bernice Hui Ying (4,250) yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Satu lagi trio negara yang terdiri daripada Sin Li Jane, Natasha Mohamed Roslan dan Shalin Zulkifli menamatkan saingan di tempat keempat selepas mencatatkan 4,144 jatuhan pin.

Malaysia kali terakhir merangkul emas acara trio wanita ialah pada pada edisi 1994 di Hiroshima, Jepun manakala meraih pingat perak pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan dan edisi 2006 di Doha, Qatar.- Bernama


No comments: