Thursday, August 23, 2018

Kerusi Ayer Hitam kekal milik BN

 


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak petisyen yang mencabar keputusan di kerusi parlimen Ayer Hitam.

Hakim Mohd Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Pada 12 Jun lalu, Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong memfailkan petisyen pilihan raya itu untuk membantah keputusan PRU-14 bagi Parlimen Ayer Hitam.

Beliau mendakwa terdapat beberapa peraturan dan undang-undang yang dilanggar sepanjang proses berkempen di kawasan Parlimen berkenaan. Liew seterusnya memohon mahkamah membatalkan keputusan tersebut yang menyaksikan beliau tewas kepada BN dengan hanya 303 undi.

Dalam petisyen itu, Liew menamakan Wee selaku ahli parlimen Ayer Hitam sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Ayer Hitam, Mohd Hafiz Aliman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri, masing-masing sebagai responden kedua serta ketiga.

PRU-14 yang diadakan pada 9 Mei lalu itu menyaksikan kemenangan Wee dengan 17,076 undi, manakala Liew mendapat 16,773 undi. Calon PAS, Mardi Marwan pula hanya mendapat 4,975 undi.

No comments: