Sunday, August 26, 2018

Dr Halimah selesai bau busuk sampah PPR 2 Lembah Subang

Manzaidi Mohd Amin

Anggota JAPS membersihkan sampah yang terbiar sejak tiga minggu lalu di kawasan PPR 2 Lembah Subang.
Anggota JAPS membersihkan sampah yang terbiar sejak tiga minggu lalu di kawasan PPR 2 Lembah Subang.

PETALING JAYA – Bau busuk sampah yang menyelubungi penduduk flat Projek Perumahan Rakyat 2 (PPR 2) Lembah Subang sejak tiga minggu lalu, akhirnya diatasi dengan program gotong royong oleh anggota Jabatan Amal Pas Selangor (JAPS).

Kira-kira 50 anggota JAPS dikerahkan dalam gotong royong itu untuk membersihkan kawasan sekitar termasuk sampah yang gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bawah kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Sikap tidak peduli PBT berkenaan menyebabkan penduduk di sekitar PPR 2 Lembah Subang sentiasa berdepan dengan pencemaran bau, termasuk keadaan sampah yang berselerak terbiar.

Kes itu kemudian mendapat perhatian calon Pas, Dr Halimah Ali yang terus menghubungi JAPS untuk mengatasi masalah tersebut.

Sebelum ini, calon PH dari PKR, Halimey Abu Bakar pernah datang ke kawasan perumahan itu dan penduduk mengemukakan aduan agar masalah sampah dapat diatasi segera.

Bagaimanapun, tiada tindakan diambil oleh bekas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, sehingga ia mendapat perhatian Dr Halimah dan masalah itu dapat diselesaikan dengan aktiviti gotong royong. – MalaysiaGazette


No comments: