KUALA LUMPUR: Selepas kejatuhan Umno dari tampuk kuasa, salah seorang cucu Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman membandingkan parti Melayu itu ketika zaman datuknya dengan zaman sekarang, dan berkata Umno pada ketika itu menyayangi orang Melayu tetapi tidak sampai terlalu memanjakan.
Tunku Munawirah Putra melihat situasi Umno hari ini berkata, sekiranya Tunku masih hidup tentunya beliau tidak bersetuju dengan beberapa dasar Umno sekarang.
“Tok saya sudah tentu mahu pemimpin Melayu menolong orang Melayu, tetapi bukan membantu sehingga mereka menjadi terlalu manja.
“Matlamat Umno mementingkan orang Melayu tetapi juga tahu berlaku adil kepada semua bangsa demi membina Malaysia yang aman, makmur menuju kemajuan.
“Kalau manja sangat akan ‘naik tocang’. Rakyat sekarang sudah bijak dan pada akhirnya mereka akan membuat pilihan seperti yang berlaku hari ini (BN kalah dalam pilihan raya 9 Mei lalu),” katanya di kediamannya di Bukit Damansara.
Munawirah ditanya mengenai perbezaan Umno ketika ini dengan ketika Tunku memimpin parti itu.Tunku Abdul Rahman menjadi perdana menteri Malaysia dari 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970. Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun.
Jual tanah isi tabung parti
Munawirah berkata ketika Tunku berada dalam Umno beliau sanggup menjual tanah yang ada untuk memberi duit kepada parti.
Ini berbeza dengan pimpinan Umno sekarang yang sudah lari daripada matlamat asal perjuangan seperti ketika zaman Tunku Abdul Rahman menjadi presiden Umno, katanya.
“Semasa Tok mengambil alih Umno daripada Datuk Onn Jaafar pada 1951, Umno tidak ada duit. Dia terpaksa menjual tanah yang diberikan oleh ibunya, Che Menjalara.
“Tanah di Pulau Pinang dan Kedah dijual. Semasa itu tidak ada rumah, cuma ada tanah dan yang berharga ketika itu cuma tanah di Pulau Pinang dan Kedah,” katanya
Beliau berkata ibu Tunku Abdul Rahman, Che Menjalara berbangsa Thai dan bijak berniaga.
Duit yang dikumpul daripada perniagaan ibu Tunku dijadikan modal membeli tanah untuk anak-anak.
“Tanah Tok dapat bukan daripada sultan tapi hasil perniagaan ibunya,” katanya.
Munawirah berkata Toknya terpaksa menjual tanah kerana Umno ketika itu memerlukan dana untuk berkempen, membayar pengangkutan, upah pekerja, melobi pemimpin luar negara dan juga untuk keperluan asas hidup,” katanya.
Dulu tidak bimbang bangsa, agama dan bahasa
Munawirah berkata berbanding negara masa ini dengan ketika zaman Tunku Abdul Rahman, masa dahulu lebih harmoni dan majmuk.
Beliau berkata rakyat pula tidak terlalu bimbang mengenai persoalan bangsa, agama dan bahasa semua pihak.
“Tidak dinafikan Tunku mementingkan pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika itu juga beliau bimbang sekolah tidak cukup dan kekurangan guru.
“Dia rasa pendidikan perlu betul dan semua bangsa perlu taat setia pada negara,” katanya.
Hobi memasak dan melukis
Dalam pada itu, Tunku Munawirah berkata, sisi lain Tunku Abdul Rahman yang kurang diketahui adalah hobi melukis dan memasak.
Tunku suka melukis dan melakar emosinya terhadap anak-anaknya.
“Tetapi beliau kurang melukis selepas menjadi perdana menteri. Dia boleh melukis dan melakar hanya dengan menggunakan pensel.
“Ayah pernah bercerita tentang datuk saya yang akan melukis jika dia tertekan atau sedang marah.
Ada satu cerita di Royal Kedah Golf Club pada 1960, dia masuk tandas dan lihat ia sangat kotor, jadi dia ambil ‘marker pen’ dan mula melukis pada dinding tandas itu.
“Tetapi saya tidak ketahui apakah yang dilukisnya. Lukisan itu mengambarkan kemarahan beliau,” katanya.
Munawirah berkata Tunku juga suka memasak daging panggang dan menyambut tetamu jika ada kelapangan.
“Mengenai kehidupannya, beliau suka menyambut tetamu. Jika sambutan hari raya dan hari jadi, ramai orang akan datang.
“Tok juga suka membela ayam. Dia suka ayam yang merayau-rayau di luar rumah. Pagi-pagi kalau di rumah di Pulau Pinang akan kedengaran bunyi bising ayam berkokok.
“Tunku banyak menghabiskan masa selepas tidak menjadi perdana menteri di rumahnya di Jalan Tunku Abdul Rahman (Ayer Rajah Road), George Town.
“Rumah di Pulau Pinang selalu menjadi tempat menyambut sama ada hari jadi atau hari raya,” katanya.
LIHAT VIDEO DI SINI
No comments:
Post a Comment