Saturday, August 25, 2018

Najib: BR1M bukan dari sumber dicuri tapi hasil GST

MALAYSIAKINI

   

Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa kesal terhadap pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dikurangkan secara berperingkat sebelum dihapuskan.

Bekas perdana menteri itu juga menafikan tuduhan bahawa BR1M dibayar dengan wang yang 'dicuri' atau bertujuan untuk 'membeli rakyat', sebaliknya ia hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Agak pelik tuduhan bahawa kerajaan BN "curi" wang untuk bagi balik kepada rakyat.

"Wang untuk membayar BR1M bukan dari sumber yang dicuri. Ia dari langkah rasionalisasi subsidi dan GST," kata Najib menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, BR1M juga bukan digunakan untuk tujuan politik, manakala kriteria penerima berdasarkan pendapatan bulanan isi keluarga tanpa mengira fahaman politik mereka.

"Orang yang kaya lebih banyak mendapat faedah dari subsidi pukal manakala kutipan GST lebih banyak dari SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) kerana orang kaya yang bayar lebih banyak GST kerana perbelanjaan mereka lebih.

"Lebih penting, GST mengurangkan pengelakan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi 'gelap'," tambahnya.

Mengulas lanjut, Najib berkata wang kutipan GST dikembalikan kepada golongan B40 sebagai BR1M yang jumlahnya dinaikkan berikutan pertumbuhan ekonomi negara.

"Dengan ini, jurang kekayaan dan pendapatan antara golongan yang kaya dan miskin boleh dirapatkan.



"Ini jelas dari nisbah GINI (nisbah yang mengukur kesaksamaan pendapatan) yang semakin menurun sehingga terendah di bawah 0.40 untuk pertama sekali dalam sejarah pada tahun 2016," katanya.

Terdahulu Portal The Malaysian Insight (TMI) dalam wawancara bersama Mahathir melaporkan pengurangan BR1M akan dilakukan beransur-ansur sebelum ia dihapuskan.


Baca: Laporan: BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit - Dr M


“Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit apa yang kita berikan kepada mereka (BR1M) dan jelaskan kepada mereka apa objektif kita.

“Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri. Barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik.

“Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” kata Mahathir seperti dipetik TMI.

Kenapa hukum orang miskin?

Sementara itu Najib turut mengulas pengumuman kerajaan bahawa kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk suku kedua tahun ini menurun kepada 4.5 peratus berbanding 5.4 peratus sebelum itu.

Beliau mendakwa beberapa penganalisa ekonomi juga meramalkan Malaysia bakal mengalami kemelesetan ekonomi atau krisis dalam tempoh yang terdekat.

"Harga getah dan minyak sawit juga telah turun dengan teruk semenjak PRU14.

"Ketika inilah orang miskin yang patut ditolong, bukan dihukum. Di mana salahnya kalau kita mengambil wang dari yang kaya dan yang lari cukai untuk membayar kepada yang miskin?

"Adakah PH sudah lupa bahawa mereka berjanji untuk meneruskan BR1M dalam manifesto?

"Mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin?" Soalnya.


No comments: