Selepas Aishah bersuara, kini pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza 4 (GV4) Lan Solo pula menyatakan rasa terkilan kerana hadiah tanah lot yang dijanjikan belum sampai ke tangannya.
Justeru Lan menggesa penaja berterus-terang mengenai status tajaan berkenaan dan bukannya membiarkan isu berkenaan berlarutan kerana ia hanya mengundang banyak spekulasi.
“Sebaiknya jangan memanipulasi kami (tiga pemenang tempat teratas). Penaja kata nak hubungi selepas program tamat, malangnya tiada sebarang panggilan diterima pun.
“Kami tunggu hingga dua tiga bulan selepas itu tetapi penaja kemudian memberikan alasan urusan akan dilakukan selepas pilihan raya umum ke-14 berakhir," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Mengakui dia bukanlah terdesak untuk mendapatkan tapak lot banglo itu, Lan berkata dia rimas apabila ada orang bertanya mengenainya.
“Orang di sekeliling sering bertanya, bila banglo berkenaan nak siap, tapi kami sendiri pun tidak tahu jawapannya,” katanya.
Sebagai pemenang ketiga GV4 selain tanah lot banglo Lan Solo - atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof - menerima wang tunai RM30,000 tajaan Astro dan Qu Puteh, pakej percutian ke Boracay di Filipina, baucar beli-belah bernilai RM4,000 dan piala.
Aishah yang menyandang gelaran juara membawa pulang hadiah seperti wang tunai berjumlah RM100,000, satu lot tanak tapak banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.
Di tempat kedua, Liza Hanim pula menerima hadiah wang tunai RM50,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Turki, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM5,000 serta piala.
Untuk rekod, Aishah dan Liza (gambar) masih belum menerima tanah lot yang dijanjikan pihak penaja dari pertandingan anjuran Astro itu.
Malaysiakini sebelum ini menyiarkan Aishah berasa terkilan kerana masih belum menerima hadiah yang dijanjikan penaja itu.
Kata penyanyi Janji Manismu itu, sudah lama dia mengimpikan untuk membina rumah bersesuaian dengan keadaannya yang sakit kaki sejak sekian lama.
Astro pula mengulas syarikat penaja lot tanah tapak banglo terbabit meminta sedikit masa untuk menyelesaikan "beberapa perkara berbangkit".
Dalam pada itu, Lan berkata idea untuk tampil membuat pendedahan di media sosial itu sudah lama dirancang bersama Aishah dan Liza sebagai jalan yang dirasakan terbaik bagi menangani isu berkenaan.
“Bukan berniat nak memburukkan apatah lagi berasa marah, cuma sudah nak setahun perkara ini berlaku, malah Gegar Gavanza 5 pun dah nak mula, justeru kami perlu buat sesuatu.
“Kami sebulat suara untuk mendedahkan perkara ini, dan kak Aishah mulakan dulu kerana dia lebih berpengalaman bab ini,” katanya.
Namun, Lan tidak meletakkan semua kesalahan di bahu Astro, sebaliknya berkata, amat menghargai maklum balas yang selama ini diterima berkaitan isu terbabit.
“Dengan Astro tiada masalah, mereka beri kerjasama baik, kami tidak menyalahkan mereka.
“Cuma kami berharap penaja terbabit segera berterus-terang jangan berdolak-dalih lagi dengan memberi pelbagai alasan. Biar semua pihak jelas dengan perkara ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment