Saturday, August 4, 2018

DAP sahkan tak guna roket dalam PRK Balakong

 
   

DAP mengesahkan parti itu tidak akan menggunakan logo roketnya dalam pilihan raya kecil (PRK) di Balakong.

Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) dua hari lalu memutuskan parti komponen akan menggunakan logo HARAPAN dalam PRK kecil akan datang ini.

"Kita adalah HARAPAN dan kita mesti guna satu logo dengan sepenuh hati untuk menunjukkan perpaduan keempat-empat parti komponen," katanya.

Bagaimanapun, anggota parlimen Cheras itu berkata HARAPAN patut menggunakan logo bersama dalam pilihan raya akan datang.

"Saya fikir, bermula dari Balakong dan selepasnya, kita mesti menggunakan satu logo," katanya.

Logo DAP yang terdiri daripada warna merah, putih dan biru, direka oleh pengasas parti itu, yang juga bekas setiausaha agungnya, Goh Hock Guan.

Ia digunakan sejak pilihan raya umum (PRU) 1969.

Logo DAP itu kali terakhir digunakan semasa PRU14 pada 9 Mei lalu tetapi hanya di Sarawak.
Di Sabah dan Semenanjung, DAP seperti parti komponen HARAPAN lain menggunakan logo PKR.

HARAPAN tidak boleh menggunakan logonya semasa PRU14 kerana tidak didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada masa itu.

RoS meluluskan pendaftaran HARAPAN pada 16 Mei, iaitu kira-kira seminggu selepas PRU.

Malam tadi, naib presiden PKR Xavier Jayakumar berkata PRK Sungai Kandis hari ini merupakan kali terakhir parti komponen HARAPAN akan menggunakan logo PKR dalam pilihan raya.


No comments: