KUALA TERENGGANU: Rakyat dan
pengundi N02 Kota Putra disarankan agar menolak calon Barisan Nasional
(BN) kerana membuat kesalahan ugutan dan paksaan kepada pengundi di
Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut.
Timbalan Yang Dipetua PAS Besut, Cikgu Salahuddin Jaafar berkata,
kesalahan yang dilakukan oleh calon BN Kota Putra itu amat serius dan
perlu tindakan segera.
Ini kerana, katanya kesalahan ugutan dan paksaan itu terkandung dalam Seksyen 5 dan Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Saya dapat maklumat pengundi N02 Kota Putra, calon Barisan Nasional,
telah membuat penyataan berupa ugutan dan pengaruh tidak wajar ke atas
pengundi-pengundi dalam Program Santai Bersama Abe Adi, pada 7 Mei 2018
lalu iaitu di tapak Kumpulan Belia Nelayan (Kubena) PNK, Kampung Air
Tawar, Besut.
“Saya percaya ugutan dan pengaruh tidak wajar itu adalah perbuatan
salah oleh calon N02 Kota Putra, di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya
1954.
“Saya juga mendapat maklumat mereka yang diugut itu telah membuat
satu laporan polis berkait dengan ugutan berkenaan. Antara ugutan itu,
meminta pengundi yang juga penternak ikan kerapu hibrid supaya mengambil
gambar kertas undi yang memangkah calon BN, sebagai bukti mereka
mengundi BN dengan menggunakan kamera handphone,” ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Jalan Sultan Omar, di sini, hari ini.
Beliau yang pernah menjadi calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU)
ke-13 lalu menjelaskan, bahawa semua gambar bukti memangkah BN itu
diserahkan kepada tiga individu petugas partinya.
“Gambar-gambar itu diarah supaya dihantar kepada tiga individu iaitu
Haji Khotib, Tok Penghulu Mail dan Lias JKKK (Jawatankuasa Kemajuan
Keselamatan Kampung). Mereka ini penyokong tegar Barisan Nasional dan
pengundi di N02 Kota Putra.
“Saya juga diberitahu calon ini mengugut jika penternak tidak
menunjukkan kertas undi yang memangkah calon BN. Lesen Menduduki
Sementara (LMS) kolam ikan Hibrid peserta itu tidak akan disambung jika
beliau (Mahdi) dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya (PRU14)
ini dan bangsal tersebut akan disodok dan dirobohkan.
“Ini satu tindakan tidak wajar kerana calon N02 (Mahdi) itu memaksa
penternak melakukan perbuatan salah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya
Seksyen 5 dan Seksyen 9. Rekod video dan audio kes ini telah pun
diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan,” jelasnya.
Kes itu, katanya akan dipanjangkan kepada pihak Jabatan Pendakwaan di
mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) untuk diambil tindakan selepas ini.
Beliau turut merayu kepada para pengundi khususnya di Dun Kota Putra
dan Terengganu amnya agar menolak calon BN yang melakukan kesalahan
tersebut.
“Saya mohon kepada para pengundi yang akan mengundi pada hari esok, 9
Mei ini supaya menolak sama sekali calon BN yang telah terbukti
melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya memantau perjalanan
pilihan raya ini sebagai satu institusi yang telus ini tidak diresapi
dengan unsur-unsur penyalahgunan kuasa, ugutan dan sebagainya.
“Jika ada calon-calon yang berkelakuan seperti ini, saya menyeru
pengundi supaya menolak calon pilihan raya itu kerana sudah tidak
mempunyai integriti,” tegasnya.
Justeru, kata Cikgu Salahuddin, PAS telah mempertaruhkan calonnya
yang berintegriti, profesional dan boleh mewakili rakyat di Dun Kota
Putera.
Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham), Mohd Zabidi Yusof, Ketua Penerangan Luham, Fariz Irwan Dato’ Mustafa serta tiga orang pengundi Dun Kota Putra yang membuat laporan polis terhadap Mohd Mahdi Musa. - HARAKAHDAILY
Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham), Mohd Zabidi Yusof, Ketua Penerangan Luham, Fariz Irwan Dato’ Mustafa serta tiga orang pengundi Dun Kota Putra yang membuat laporan polis terhadap Mohd Mahdi Musa. - HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment